Pantulan A/01/14/2020: Sajak Leo A.W.S. “Pulang kampung dengan keretapi” - Diari belia
Dalam tahun 1978, Leo A.W.S. yang sedang bertatih dewasa berhasil menyumbangkan sajak-sajak beliau dalam Dewan Sastera sebanyak tiga buah: “Kemarau”, Jun; “Kematian seekor lipas”, September; dan, sedang dipantul kini, “Pulang kampung dengan keretapi”, Jilid VIII, Bil. 12, Disember 1978, muka surat 19.
Dengan tidak mengusik kedua-dua yang awal itu, masih dapat kuketahui Leo jadi hilang kebosanannya apabila tiba di “rumah” dari perjalanan jauh. Tetapi “derita” yang dibawa bersama tidak pula diketahui kesudahan riwayatnya. Aku mengandai dengan minuman yang sama dihirupnya relailah ia ketika itu juga. Sekali gus. Rumah menjadi pelipur laranya.
Ini diari lama dicatat Leo A.W.S., 3 September 1978. Aku sendiri hampir berusia 27 tahun ketika itu. Tidak jauh usia Leo berkurangan berbandingku. Tiga tahun sahaja.
Yang aku ingin berkongsi, pengalaman sendiri pada tahun 1969-1970, ketika berkeretapi dari Wakaf Baru ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, ketika pulang ke desa pada percutian yang menyusuli. Ketika itu aku bersekolah di Ibu Kota.
Mujurlah perjalanan itu tidak kuingat terkait oleh kebosanan. Sementelahan lagi derita. Ini pasti. Perjalanan itu suatu keperluan untuk menghabiskan musim cuti dan kembali bersekolah semula apabila tempoh itu usai. Perjalanan di sepanjang rel keretapi dijajari hutan, sesekali perkampungan tradisi. Beralih hari. Ada kelainannya diraih peribadi, jika kampung nelayanku sebagai sekitaran ganti asas meneliti persepsi.
Kehidupan remajaku sangat biasa. Lebih banyak gembira bahkan tidak boleh dikatakan mercik derita. Ini tidak bermakna aku mewah selesa. Jauh sekali daripada itu kerana apalah hebatnya perkampungan nelayan pada tahun-tahun 1950an-1970an? Hampir keseluruhan kampung penduduknya serupa serba-serbi. Pengalaman mereka pengalamanku juga.
Tetapi aku ingat benar tempoh bercuti memang disambut baik. Seramai manalah sangat pelajar dari daerahku bertuah dipilih menyambung belajar berasrama penuh di luar “negeri”, di Kuala Lumpur? Setiap kepulangan menjadi perhatian rakan-rakan dan jiran sekampung. Setiap kepergian yang mengekori pun membekal bahan perbualan mereka ketika menegur berbasa-basi di jalanan. Ya, ketika itu, akulah segelintir (dua orang mewakili seluruh daerah) yang terpilih belajar, merintis kemungkinan merobah persekitaran dan masa depan.
Memanglah cabaran ada. Tetapi seperti orang lain juga ia lebih berupa kewangan. Lalu ‘biasiswa’ tidak mencukupi [?] ditampung daripada hantaran abang yang berpangkat prebet dalam ATM. Surat berdaftar berisi wang atau MO menjadi habuan yang dinanti-nantikan saban bulan.
Abangku ini lazim memberi sumbangan. Tentulah dia mengharapkan kejayaan kucapai tanpa dikekang kewangan. Abangku ini masih kujenguk kini apabila ada kesempatan. Jasanya dahulu sentiasa dalam ingatan. Kubalaskan juga pengorbanannya dengan sekadarnya, mutakhiri, sesekali.
Tetapi “kebosanan tertentu” digambari Leo dalam kurungan itu kukira tidak sangat utama kerana ia sebenarnya lebih bermaksud kepanjangan masa yang terpaksa dialami untuk sampai ke destinasi. Sedangkan, kalau kena caranya, ia boleh memberi kesan positif. Berbual-bual ringan, berkenalan dengan orang baru, merenung situasi semasa dan membayangkan masa depan yang lebih cerah, bahkan menukil ilham menjadi sajak! Selain memejam mata waktu gelita.
Sajak lazimnya pendek. Dalam begitu pun ia mesti mengandungi kisah untuk dikongsikan dengan pembaca. Perkongsian menjadi mudah sekiranya kedua-dua pihak berlatar belakang sama atau hampir-hampir. Kerana demikian, sajak yang pendek itu boleh dipanjangkan huraian dengan senang mengikut budibicara sendiri-sendiri.
Sajak jauh sekali perlu sengaja menyembunyi apa-apa. Ia biarkan meneran makna – selapis, berlapis-lapis sesuka hasrat pembaca. Ia seharusnya terbukti jujur dengan pokok maksud keseluruhannya. Biarlah walau sekadar dianggap ringan untuk kebanyakan orang. Kedua-halaan atau timbal-balik di antara kedua-dua pihak sewajarnya terhasil demi mewajarkan kehadiran sesebuah sajak. Jauhi sekali-kali ia terkira usaha yang membazir.


![[Newsfeed] #TogetherAtHome sticker](https://scontent.fkul14-1.fna.fbcdn.net/v/t39.1997-6/s168x128/93027172_222645632401274_7176243611145601024_n.png?_nc_cat=1&ccb=2&_nc_sid=ac3552&_nc_ohc=_Sn-SFjdJnwAX8lFjP-&_nc_ht=scontent.fkul14-1.fna&_nc_tp=30&oh=c726b496282926915ce58a44a76d6b9f&oe=5FF17630)
No comments:
Post a Comment