Sunday, 6 December 2020

 Pantulan E/02/15/2020: Sajak Hilmi Rindu, "Bukan Sekadar Kata" - Menjunjung kemurnian bahasa

Ada tiga sebab utama saya memilih karya Hilmi Rindu sekali lagi untuk dipantuli. Pertama, tenunan kata-katanya yang tergubah sama sekali tidak hadir dan berakhir sebagai sesuatu yang sesia. Setiap satu patah ujarannya. Ia mengasah hati nurani, akal budi. Kedua, beliau menyeru khalayak “membina ketamadunan zaman” dan ketiga, nasihat beliau agar “kaubawakanlah bahasamu, bahasa kita dengan sempurna.” Boleh lagi aku menambah untuk keempat dan kelima, tetapi setakat itu pun rasionalnya terpampang nyata.
Lalu saya mengusulkan kita semua mentelaah sajak Hilmi Rindu, “Bukan Sekadar Kata” (Simfoni Bahasa – Jawi/Rumi), Pelita Bahasa, Jilid 32, Bil. 4/2020, muka surat 55.
Persembahannya meluncur bersantai. Serentak, hebatnya sarat makna menjana minda meneroka ruang lingkup mengitari kewujudan bangsa dan budaya demi kelangsungannya.
Sebab kedua itu, menyentuh pemikiran tinggi. Bagaimana jati diri kini seharusnya dimesrai demi memastika bangsa sendiri duduk setara dengan peradaban agung lain yang menduniwi. Sebenarnya sebab ketiga itu telah menjadi sebati jelira dengan saya. Sebagai pengamal ‘bahasa bonda’ (kupinjam judul sebuah sajak Usman Awang, 1954), kuakui gumpalan peranan sakti bahasa telah mengental, “sedia kukuh dan berdaya” seperti berseni dihidangkan oleh Hilmi.
Sebagai pemerhati amalan berbahasa kebangsaan di kalangan pelbagai kelompok warganegara, aku luluh kecewa kerana bahasa pertiwi telah kini sampai di pinggir jurang yang amat dalam, bahkan sedang terjerumus meleta ditusuk nyawanya.
Ribuan wacana telah terakam membicarakan keupayaan dan potensi besarnya. Namun, bak kata seorang sarjana, demi 'keselesaan orang lain', aku pun sependapat dengan majoriti bahawa bahasa lisanku sedang tenat berlari ke pangkalan penamat, menemui kesudahan menyayat jiwa.
Slogan yang dahulunya keramat pada tahun-tahun pertengahan 1950-an dan terutama pada tahun-tahun 1960-an, melajak ke 1970-an, “Bahasa Jiwa Bangsa”, terantai dan terkunci sepi di ‘arkib bahasa’ para pemegang mandat wawasan silih berganti.
Sedar sudah aku, bahawa bahasa yang terpuja rerupanya tidak terkira hanya kerana digunakan ratusan jutaan penutur asli. Hakikatnya, bahasa sejati adalah yang mengungguli ekonomi dengan dukungan dasar yang berkesimpatian dan semata-mata melayan kerakusan ‘hidup mati’ diri dan pendukung-pendukung sendiri.
Rerupanya, rasional setiap individu tidak lebih daripada pandangan peribadi. Pendirian yang terutama dan bakal terlaksana adalah yang dipersetujui kerana menyumbang kepada kelestarian pelakon-pelakon ditampuk kuasa.
Ribuan sajak bahasa telah ditatap. Banyaknya adalah luahan semangat berkobar mengangkat sejarah lama yang tidak pun menyerlah mengungguli persaingan sejagat. Begitu pun, sesekali muncul seketul kencana berwajah “bukan sekadar kata”. Sungguh, ukiran Hilmi ini, perlu dinobatkan. Pencernaan yang matang tentang hakikat kewujudan bahasa telah menjadikan sulaman beliau teramat berjaya. Ia suatu hadiah untuk pustaka bahasa negara.
Sajak ini contoh yang tepat sebuah karya yang seharusnya diseminar atau dibengkelkan. Aku percaya minda sempit akan merua mesra bakal menerima faedah positif daripada janaan bijaksana penyair bestari. Sajak ini untuk semua warga. Kepada yang mengendali ehwalan jati diri negara perutusannya lebih-lebih wajar dijiwai. Agar situasi kini bertukar, lalu bahasaku kembali berseri sekali lagi.
Tiada perlu aku mencari-cari ungkapan merumus penghargaan. Memadai dengan sebutan ‘tahniah’ ganti tepukan terhadap usaha terbilang Hilmi, pemahat madah cendekiawan.
Image may contain: text
Zulkifli Salleh, Rismayanti Idris and 11 others
1 comment
Like
Comment
Share

Comments

  • Saya melintasi hari ini, Awang Sariyan, “Merekayasa Perjuangan Bahasa dan Persuratan Melayu” (Agenda Bahasa), Dewan Bahasa, Jilid 20, Bil. 7/2020, muka surat 10-14. Beliau menutup rencana dengan memetik puisi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, “Kata dimuliakan/Kerana bahasa itu hablur percaya/Kota yang memagar janji dan penama erti/Padanya ada ilmu tamadun mengalir pada dakwat/Mantiq berbincang di ayat/Dan memercikkan wawasan ke akal/Tiada yang lebih agung dari ilmu/Kerana maknanya menyambung bangsa/Memanjatkan hidup dari lumpur ke syurga/Jalan terlurus kepada bijaksana."

No comments:

Post a Comment