Sunday, 6 December 2020

 Pantulan F/01/16/2020: Syair Dr. Azhar Ibrahim Alwee, "Syair Endah Bahasa" - “Literasi pemikiran, sosiologi kebahasaan, wacana kemanusiaan”

Syair umumnya tidak sukar untuk difahami. Kandungannya langsung mengamil tema. Perutusannya jarang terlindung daripada maksud sebenar. Ia pula mesra pembaca lantaran ringan dan selapis kesannya membekas minda. Bentuk syair sudah mantap sejak tercipta ratusan tahun dahulu. Demikian juga penyampaian perutusannya tidak pula benar-benar mencengkam dan mencukai urat fikir pembacanya sampai wajar menelitinya lebih lanjut.
Syair-syair mutakhir seperti tersiar dari semasa ke semasa dalam majalah-majalah kebahasaan tidak memberi kesan berlanjutan. Kehadirannya, sungguhpun tidak terhenti, tetap hambar, biasa-biasa, apatah lagi tidak dibicarakan seperti misalnya dilakukan ke atas sajak. Lalu ia pun terlipat di celah rembat.
Namun, adalah suatu yang menarik untuk diketengahkan pengalaman membaca sebuah syair sesarat sajak karya Dr. Azhar Ibrahim Alwee, Singapura bertarikh 25 Julai 2020, “Syair Endah Bahasa”, Dewan Bahasa, Jilid 20, Bil. 9/2020, muka surat 1.
Perutusan syair ini mudah sebati denganku apabila membacanya hari ini, (6 Disember 2020). Ia mendorong pembicaraan sambutan lantaran kebernasannya.
Dalam konteks memantul karya ini, tahun 2020 penting disebut sebagai pendahulu input. Semua mengetahui, dari segi pembangunan negara, 30 tahun dahulu, Malaysia beruar-uar menjadi sebuah negara maju dalam acuannya sendiri. Luahan tekad itu berlaku dalam tahun 1990.
Ketika itu, terutama kedudukan bahasa Melayu tidak terancam oleh dasar yang dilaksanakan kerajaan. Bahasa Melayu menapak unggul dalam pentadbiran negara. Dalam bidang pendidikan ia sedang memperkukuh maruahnya apabila digunakan dalam semua bidang pengajian tinggi. Ribuan siswazah menerima pendidikan tinggi dan berkerjaya dalam bidang pilihan masing-masing. Negara melangkah gagah menuju matlamat menjadi sebuah negara maju sesuai era baru.
Lebih sedekad kemudian, apabila PPSMI dilaksanakan, maka masa depan bahasa Melayu berubah gelap. Impaknya disaksikan bahkan dialami sendiri. Dalam tempoh 20 tahun bahasaku terundur menjadi bahasa bertaraf seakan pada tahun 1920-an. Penggunaannya lebih untuk bidang-bidang tradisional dalam masyarakatnya sahaja, khususnya keagamaan dan kesusasteraan. Ia tidak menjadi dukungan semua warganegara.
Bahasa Melayu tidak lagi bahasa utama di institusi-institusi pengajian tinggi, dalam bidang-bidang keilmuan moden yang termasuk dalam sains dan teknologi. Ia tidak sempat jadi bahasa keilmuan sejati.
Sementara itu, Menara Dewan Bahasa yang baharu terbina, sebagai lambang kemuncak pencapaian perjuangan dan pendaulatan bahasa bertukar jadi ‘tugu’, bukan institusi membina bahasa sanjungan semua. Usaha-usaha yang dilakukan terutama dari segi peristilahan dan penerbitan buku-buku sains dan teknologi terhenti, serta merta lumpuh. Sedih sungguh melihat buku-buku melusuh.
Maka dalam keadaan bahasa Melayu tersentak-sentak, tertunjal-tunjal kakinya ini, penyair kita muncul menggesa agar disedari bahawa bahasa Melayu “berilmu dan harkat”. Pengisian sewajarnya untuk menjadikan demikian ialah melalui pengupayaannya mendukung bidang-bidang ilmu sains dan teknologi.
Aku sendiri sudah mengalami fasa-fasa perkembangan bahasaku. Semuanya. Dari tahap ia mulai bertatih pada 1960-an apabila persekolahan menengah aliran Melayu diperkembang dan diperkukuh berperingkat-peringkat sehingga ke peringkat pengajian tinggi, ditandai penubuhan Universiti Kebangsaan pada awal 1970-an. Jaluran rentetan peristiwa ini tidak salah lagi menghasilkan beberapa tanda aras awal pemartabatan bahasa Melayu. Sungguh membanggakan, betapa berpengharapan.
Semua itu jadi sejarah, termasuk yang menyayatnya, iaitu pemerosoton bahasa Melayu menjadi bahasa tak sudah, bahasa di rumah. Bahasa yang tidak akan berapa sangat gunanya, ibarat kain sarung singkat yang tidak menutup sempurna apa-apa bahagian badan, walaupun layak menjadi basahan. Ia bukan lagi bahasa untuk persidangan membentangkan rumusan kelompok cendekiawan. Jangan sekalilah hendak menénangnya berperanan luar biasa mengendalikan ASEAN. Sebab, ia bakal kekal bahasa suku penutur asal.
Memang penyair memberi amaran “bahasa lesu dan mati” akan ditinggalkan oleh generasi baharu kerana ia tidak menjadi bahasa moden yang mendukung semua keperluan dunia sekarang. Kecamukan yang mengitari kehidupan bahasa itu tidak boleh dibiarkan berterusan sampai pupus. Beliau ada ikhtiar berwawasan jitu.
Rahsia yang tercungkil seharusnya dikembangkan menjadi satu senjata semua jangka – pendek, sedang dan panjang. Dalam kata-kata penyair, tindakan yang bertepatan diambil ialah “usah bercogan kata”. Yang lebih betul dan wajib dibuat ialah menjelmakan “perancangan”. Pendekatan ini tidak terhad isu-isu kebahasaan tetapi meliputi pengintelektualan bahasa Melayu.
Memang idealnya, gemblengan para peneraju, dari nombor satu sampai rakyat disemua medan dan bucu harus terjalin demi menjamin kelancaran pelaksanaan strategi/program/aktiviti dalam pelan tindakan, dan pencapaian matlamat.
Tetapi dalam konteks organisasi pelaksana, situasi semasa jadikanlah asas memperkuat semula bahasa ibunda. Memang pelbagai komponen wajib senada bersuara dan searah hala untuk menjamin dampak positif maksimum. Bagaimana pun ini lebih mudah disebut daripada dilakukan. Sesebuah organisasi tidak bebas bertindak sendiri. Kerangka jentera dan birokrasi harus dihormati. Antara pelaku, masing-masing saling bergantungan selain perlu menjaga perlakuan dan ketertiban.
Aku yakin, tiap-tiap organisasi tetap ada kuasa dan upaya melaksanakan, terhad kepada tanggungjawab yang telah termaktub. Paling kurang, tanggungjawab atau mandat atau amanat ini wajib dilaksanakan secara paling profesional. Biarlah sentiasa tersemat tekad tetap melangkah ke depan. Apa yang tercapai penambahbaikan belaka. Memperkukuh yang sedia ada.
Semoga, lambat-laun akan menyerlah jua manfaat utamanya.
Para penguasa, pengelola, perancang, pelaksana, pemantau, penilai, dan rantaiannya ada tanggungjawab besar. Individu akan sentiasa berubah. Tanggungjawab kekal sama. Namun, bahasa Melayu menuntut haknya seperti diakui perlembagaan. Rakyat akan berpihak kepada yang terbukti berbakti kepada pertiwi demi jati diri kebangsaan.
Halaman yang lebih panjang perlu untuk menggali puisi. Setiap rangkapnya lebat berisi. Tidak adil jika tidak meneliti setiap patah dan baris dengan erti-erti sebenar dan sipi. Tidak bijak lagi, jika disimpan naskhahnya lalu orang-orang berkepentingan terlepas pandang lantas tidak berasa rugi tanpa mengetahui nukilannya.
Di sebalik semuanya sukacita saya mengalungkan penghargaan setimpal kreativiti karyawan bermakna ini.
Image may contain: text that says "Syair Endah Bahasa Bahasa itu harus disayangi, maju jadi peduli, Rumi Lambang jati diri dan akal budi. ilmu berkembang, Sains teknolog dapat dijulang dan adab dapat dibilang. Kalau bahasa dan mati, Kelak muda akan meningg Mencar pasti, Sampai begitu janganlah Dari itu, fikirlah sahabat, disebut bahasa Harus bermakna ilmu terjebak etnosentrik diisi, Bahasa Dengan Yimu maju dengan Dalam bahasa Benarlah asasi, yang mahu diterokai. jiwa, Selagi perancanga tidak muka. tugas harus laksana, bahasa Persoalan itulah dia. Bukan linguistik semata usul Pertama, literasi Kedua, sosiologi Ketiga, wacana Itulah Untuk pemul Betapa Bermula depan, fikiran. Ibrahim Alwee, Singapura, 25 Julai 2020."
Zulkifli Salleh, As Abbas and 11 others
1 share
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment