Rapuh 19/2020: Antara berbin dengan tanpa bin
Ini tertulis lebih ‘kebetulan’ daripada dirancang.
Ketika membaca semula Modern Development of Malay Literature (1940), saya terkagum dengan biografi ringkas seorang penulis bernama Ahmad Ismail yang ditulis oleh Za'ba.
Beliau dilahirkan pada 3 Ogos 1899. Beliau bersekolah Melayu di Kota Bharu pada 1912-1915 tetapi berhenti ketika di Darjah II dengan catatan ‘malas’. Lalu dengan usaha sendiri dia memasuki sekolah Inggeris persendirian yang dikendalikan oleh seorang guru Ceylon tetapi berhenti selepas 8 bulan. Kemudian, dia belajar bahasa Arab bersendirian sambil bergaul rapat dengan mereka yang mengetahuinya. Dalam hal ini, Kamus English-Arab menjadi rujukan utama. Di samping itu dia kerap bertanya kawan-kawan atau guru-guru sehingga dia dapat menguasainya dengan baik.
Dia membaca dengan banyaknya buku-buku bahasa Arab keluaran Mesir. Dia menjadi penyunting majalah al-Hidayah pada tahun 1923 tetapi tidak dapat bertahan lama. Lalu beliau menubuhkan penerbitan milik sendiri, Matbaah Al-Asasiyyah.
Buku-buku beliau lebih berupa terjemahan atau saduran daripada buku-buku Arab. Disenaraikan seperti berikut: Tut-Ankh-Amun, 1929, Asasiyyah Press, Kota Bharu, Kelantan, 320 halaman; Chogan Setia, 1929, 430 halaman; Pahlawan Perkasihan dan Peperangan (1930), 135 halaman; Selamat Tinggal Ayohai Timor! (1931); Tarikh Perjalanan Mustapha Kemal Pasha. 1931; Puteri Masir dengan Pahlawan Raja Rum, (1932), 551 halaman; Penyuloh Bahagia dan Sejahtera (1933), 114 halaman; Kumpulan Kala (1933), 212 halaman; Bayang Hitam (1933), 163 halaman; Zarina dan Rasputin (1935), Kerana Mahkota (1937); Rahsia Kasih (1938).
Majalah al-Hikmah yang dipimpin beliau mulai terbit April 1934 dan berterusan sehingga terhenti pada November 1941. Tentulah banyak kandungan yang termuat dalam majalah itu kerana ia diterbitkan pada awalnya, setiap sepuluh hari, kemudian seminggu sekali.
Penulis ini kemudiannya bergelar Dato' Lela Negara. Beliau meninggal dunia pada 13 Ogos 1969.
Kembali kepada kenyataan saya di awal-awal tadi. Salah sebuah buku yang saya belek dan baiki hari ini ialah Kamus Peribahasa Sa-Hari-Hari oleh Ahmad bin Ismail, terbitan Sinaran Bros, Pulau Pinang, 1956.
Tiada pun pengarangnya menulis pengenalan. Hanya”Kata Pengantar” yang ditulis Mansor bin Sanusi, Ketua Pengarang Buku-buku Pelajaran Sinaran, menyebut pengarang (Ahmad bin Ismail) sebagai “seorang wartawan Melayu yang telah terkenal mengarang beberapa buah buku-buku pengetahuan dan kamus.”
Jadi terbetik pertanyaan, Ahmad Ismail, Matbaah Asasiyyah itu iakah Ahmad bin Ismail penyusun Kamus Peribahasa ini? Boleh jadi tidak, kerana diakan sendiri memiliki percetakan! Lebih masuk akal dicetak sendiri.
Teringat pula saya ketika menulis tentang seorang tokoh penulis silam, Mohamad Adnan Mohamad Arifin, penyusun buku peribahasa Tikaman Bahasa (1934), Al-Adib Haji Ahmad Ismail (Dato' Lela Negara) menulis ‘pengenalan’, antara lain,
“Maka nyatalah Encik Mohamad Adnan ini tersangat layak digelarkan dia pahlawan bahasa Melayu dan patutlah baginya mengarang dan mengatur kitab bidal Melayu yang besar ini ialah apakala kita telekkan percampurannya yang panjang masa di dalam perhimpunan orang tua-tua yang berbagai pangkat dari sebelah Sumatera dan Semenanjung Melayu kita ini. Walhasil kehidupannya itu di dalam istana bahasa dan pengetahuan, barangkali mereka seumpamanyalah digelar di dalam bahasa Inggeris: The Man of Letters”.
Memang pun nama yang sama bukanlah aneh di kalangan kita.
(Rujukan: Za'ba, Modern Development of Malay Literature, (1940) dalam Pendita Za'ba Dalam Kenangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, muka surat 240-267; Abdul Razak Mahmud, et. al., Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur Sejarah, Pemikiran dan Karya. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., 2009.)
No comments:
Post a Comment