Rapuh 21/2020: Mengenang bersekolah di Tenganung Kite!
Dalam meneliti aspek lain, saya melintasi aspek yang lain.
Sehingga tahun 1915 hanya sebuah sekolah Melayu terdiri di Terengganu dengan kira-kira 80 orang murid-murid lelaki. Bagaimanapun mulai 1951 ‘Sekolah Rakyat’ dibina. Sehingga 1956, terdapat 54 buah Sekolah Rakyat dengan 2,570 pelajar manakala Sekolah Kerajaan berjumlah 131 dengan 30,228 pelajar.
Mengenai persekolahan aliran Inggeris, sehingga 1949 Terengganu hanya bersedia mendirikan sebuah sekolah Inggeris. Ternyata ia tercorot di belakang negeri-negeri lain, misalnya, 2 di Kelantan; 12 di Johor; 4 di Kedah; 3 di Melaka; 4 di Negeri Sembilan; 6 di Pahang; 7 di Pulau Pinang; 7 di Perak; 5 di Selangor.
Dengan alasan kekurangan kewangan dan kesukaran memperolehi guru-guru terlatih, pemohonan mendirikan sekolah di Besut dan Dungun tidak dipertimbangkan. Dipetik sedikit kandungan surat Setiausaha Kerajaan, (bertarikh 8 Disember 1949), “… apabila jajahan-jajahan ini bertambah maju dan setelah sampai tempohnya kelak, iaitu apabila kedudukan wang ada tegap dan apabila difikirkan munasabah mengadakan sekolah Inggeris di jajahan itu menurut kemajuannya”.
Berbanding persekolahan aliran Inggeris, memang pun persekolahan aliran Melayu tidak boleh ke mana-mana. Dalam surat Pegawai Daerah Ulu Terengganu kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu bertarikh 18 Februari 1952, dinyatakan, “bahawa ramai pelajar Darjah IV Sekolah Melayu gagal mendapat peluang pekerjaan, justeru memohon diadakan sekolah Inggeris supaya mereka boleh menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.”
Mengikut banci 1970, kadar celik huruf penduduk Terengganu ialah 48.9 peratus. Dalam berbahasa Inggeris, kadarnya 6.9 peratus. Di kalangan mereka yang berusia 12 tahun hanya 35.4 peratus menamatkan persekolahan rendah. Di kalangan penduduk berusia 17 tahun dan ke atas, hanya 4.2 peratus bersekolah menengah. Kadar-kadar yang dinyatakan adalah diantara kadar-kadar terendah dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
(Rujukan: Nordin Hussin & Roslelawati Abdullah, 2015. “Perkahwinan dan Perceraian Di Terengganu 1950-1970”, Dewan Bahasa dan Pustaka)
No comments:
Post a Comment