Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 22/2020: Cinta Sekerat Jalan II

Saya telah lama juga mengumpul dan menyimpan maklumat dalam fail dokumentasi peribadi berjudul “Perkahwinan dan Perceraian”.
Dalam pada itu dari tempoh terawal sehingga terkini, analisis mengenainya yang terbaik dapat dibaca dalam Nordin Hussin & Roslelawati Abdullah, 2015. “Perkahwinan dan Perceraian Di Terengganu 1950-1970”, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mengikut mereka, para pengkaji asing, yang melakukan penyelidikan semenjak 1958, 1959, 1964, 1966, 1967, 1972 dan 1994, merumuskan bahawa “perkahwinan dalam kalangan orang Melayu tidak stabil dan kadar perceraian adalah tinggi.” (muka surat 177)
Beberapa sebab perceraian itu di antaranya berpunca daripada kegagalan suami memberi nafkah, tidak serasi/tiada persefahaman, dan lain-lain.
Dua pengkaji mutakhir yang dinyatakan di atas telah menganalisis statistik terbabit di negeri Terengganu. Dalam pada itu mereka juga mempunyai maklumat tentang ehwal yang sama bagi negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Kali ini, saya lebih menumpu isu perceraian, khususnya peratusan keberlakuannya.
Kadar perceraian di Terengganu 1950-1957 ialah 59.78 peratus diatasi oleh Kelantan (67.60%) dan Perlis 61.39%. Bagi tempoh 1958- 1973, diungguli Kelantan (62.29% atau 146,86), Terengganu 54.01% atau 66,198, dan Pahang 46.25% atau 20,797.
Di Terengganu, tahun 1951 mencatat jumlah perkahwinan yang tertinggi sebelum merdeka dan sebaliknya mengejutkan muncul tahun yang terendah kadar perceraian berbanding tahun-tahun yang lain (tetapi kadarnya masih besar iaitu 53.47%).
Kadar perceraian tertinggi ialah pada tahun 1953 iaitu 72.46%. Seharusnya dinyatakan juga bahawa pada tahun 1953 kadar perceraian mencapai 85.49% kalau dipejamatakan kadar rujuknya sebanyak 15.24%.
Bagi tempoh yang sama peratus rujuk ialah di antara 12.55% hingga 18.81% (iaitu tertinggi pada tahun 1956).
Selepas merdeka, meliputi tahun-tahun 1958-1976, perkahwinan tertinggi berlaku dalam tahun 1974 (sebanyak 5282). Di kalangan mereka 34% (2133) bercerai (kadar terendah secara perbandingan dengan tahun-tahun yang lain). Bilangan perkahwinan sejumlah 4681 pada tahun 1958 menghasilkan perceraian paling tinggi sebanyak 62.98% (2948) (menurun kepada 51.78% (2424) selepas diambil kira jumlah rujuk).
Memang pun ada penurunan statistik status perceraian di kalangan penduduk di negeri yang dikaji. Tetapi, kalau matlamat sebenar perkahwinan itu bermaksud perkongsian hidup yang lama atau seumur hidup maka kadar-kadar penambahbaikan yang kecil itu tidak seharusnya dicanangkan.
Adalah sesuatu yang aneh kita mengalami situasi kemeriahan menyambut sesuatu perkahwinan, di seluruh negara, apabila statistik di Jabatan-jabatan Hal Ehwal Islam Negeri-negeri menunjukkan hakikat pencemaran ke atas kesyahduan, kemeriahan dan keceriaan yang memetrai penyatuan dua jiwa muda yang berasyik-mengasyikkan itu.
Saya menyimpan juga keratan akhbar The Star bertarikh 18 September 2019 melaporkan kadar perceraian yang paling tinggi negara tercatat di Selangor. Terbukti bahawa dalam tempoh 2017-2018, “there were 24,063 applications for divorce from 2017 to 2018 with most of the requests to terminate marriages coming from young couples.”
Dan barangkali, sekarang sedang Selangor mengungguli, saya percaya, negeri-negeri lain tidak jauh ketinggalan.
Adakah kita mempunyai pelan tindakan dan pasukan pendukung untuk menyelesaikan masalah raksasa ini?
Image may contain: one or more people and crowd, text that says "PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN DI TERENGGANU 1950-1970 Nordin Hussin Roslelawati Abdullah DBP"
Zulkifli Salleh, Ahmad David Kholilurrahman and 10 others
1 share
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment