Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 23/2020: Ajal tiba jua.

Ketika di tingkatan satu, aku teringat sebuah buku yang menjadi teks bacaan berjudul “Dua Orang Tawanan”. Buku itu dalam judul asal bahasa Inggerisnya ialah The Wooden Horse (1949) karangan Eric Williams.
Memanglah ceritanya menarik kerana menggambarkan kepintaran, keberanian dan kesungguhan tiga orang tahanan perang tentera British yang dipenjarakan di Stalag Luft III, Poland di bawah Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Mereka dapat melepaskan diri dengan menggali terowong dari dalam kawasan tahanan hingga di luarnya. “The Wooden Horse” dijadikan alat mengabui usaha-usaha penggalian tersebut.
Cerita pembolosan mereka tahun 1943 itu menjadi berita besar dan menjadi siri siaran akhbar mingguan London Sunday Express bersumberkan “The Wooden Horse” yang ditulis oleh salah seorang pelakunya itu.
Seorang daripada tahanan “The Wooden Horse” yang berjaya melepaskan diri itu bernama John Clinton berpangkat Kapten. Beliau dalam realitinya bernama R.M.C. Codner berpangkat Second Lieutenant.
Saya membuat sedikit layaran internet dan mendapati Codner dilahirkan di Malaya pada tahun 1920. Beliau mendapat pendidikan di England dan memasuki tentera pada tahun 1941. Beliau ditawan Jerman ketika sedang berkhidmat di Afrika. Tentunya masih muda pada tahun 1943, ketika terselamat daripada penjara berkenaan.
Selepas perang, Codner menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Oxford. Beliau memasuki Perkhidmatan Kolonial dan dihantar ke Tanah Melayu dan pada tahun 1952 menjawat Penolong Pegawai Daerah di Tanjung Malim. Ketika itu seluruh negara dalam perintah Darurat.
Hari ini saya melintasi petikan sebahagian buku “Darurat 1948-1960” yang dimuatkan dalam Mastika, Jun 1985, muka surat 134-143. Seorang penulis, Harry Miller telah menyenaraikan “the biggest ’spot’ stories” zaman Darurat itu dan meletakkan tindakan General Templer menghukum penduduk Tanjung Malim pada tempat kedua, mengatasi Peristiwa Baling yang berada di tempat ketiga dan di bawah peristiwa pembunuhan Sir Henry Gurney yang mengisi tempat pertama .
Peristiwa Tanjung Malim itu adalah serangan hendap pasukan terdiri 40 orang komunis ke atas penjawat awam yang sedang berusaha membaiki tangki air yang dirosakkan komunis dua batu dari Pekan Tanjung Malim. Kejadian berlaku pada Selasa, 25 Mac 1952. Ia dilaporkan secara meluas dalam akhbar-akhbar The Straits Times, Utusan Melayu dan The Malay Mail keesokan harinya. Serangan itu mengakibatkan 12 mereka terbunuh termasuk Penolong Pegawai Daerah Cordner.
Sir General Templer, Pesuruhjaya Tinggi datang ke Tanjung Malim pada 27 Mac 1952 telah mengenakan perintah berkurung 22 jam di situ. Kedai-kedai dibenarkan beroperasi hanya dua jam (pukul 12 tengah hari - 2 petang). Templer menyatakan “What I want is information, I do not wish to know where it came from.” Banyak tindakan susulan dilakukan oleh pihak berkuasa dalam tempoh ‘curfew’ tersebut. Perintah itu ditarik balik pada 9 April 1952.
Jadi Codner (atau Clinton dalam The Wooden Horse) dan Codner A.D.O. Tanjung Malim adalah orang yang sama. Beliau yang terlepas dari penjara perang Jerman masih tetap menemui ajalnya di hujung senapang, sungguhpun bukan lagi seorang tentera - jauh dari Jerman atau Britain tetapi di Tanah Melayu.
Seorang wartawan, Leslie Hoffman menyifatkan Codner sebagai “The man who never feared”. Bagaimanapun dalam kes serangan hendap itu dia sepatutnya lebih berwaspada. Sewajarnya lokasi kejadian itu ditinjau terlebih dahulu oleh pasukan keselamatan kerana ia telah masuk keenam kali disabotaj. Tambahan pula lawatan beliau itu dilakukan ketika waktu Subuh.
(Rujukan: “Pembunuhan Ngeri di Tanjung Malim” (Petikan Dari Buku – Darurat 1948-1960 suntingan Profesor Khoo Kay Kim dan Adnan Hj. Nawang, terbitan Muzium Angkatan Tentera, Kuala Lumpur), Mastika, Jun 1985, muka surat 134-143; Terlepas dari Tawanan terjemahan Ahmad Murad bin Nasruddin, Federal Publication Sdn. Bhd., 1975).
Image may contain: text that says "Siri Sastera Federal TERLEPAS DARI TAWANAN"
WanRafar Ishak, Nor Zatul and 9 others
5 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment