Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 24/2020: Terbiasa selesa di belakang (1)

Hari ini terbetik rasa hendak menulis tentang kelewatan idea berhijrah mengalir ke minda di tanahair. Demikian dikeranai lewat mengetahui oleh ketiadaan sumber seawal-awalnya. Kalaulah buku-buku menjadi saluran utama mendapatkan maklumat tentang sesuatu maka aktiviti penterjemahan pihak terbabit boleh menggambarkan isu itu dengan jelas.
Saya membelek Mastika, Mei 1987. Pada muka surat 37 dalam “Sudut Buku” termuat rencana kontot satu setengah kolum ulasan Belham K. terhadap buku “Tentera Dalam Politik – Kudeta dan Kerajaan” karya Eric A. Nordlinger (terjemahan Ghazali Mayuddin), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986. Buku bahasa Melayu ini ada dalam koleksi peribadi. Saya dapati buku sumbernya berjudul Soldiers in Politics Military Coups and Government, Prentice Hall, Inc, New Jersey, 1977. Bermakna jarak antara kedua-dua versi itu ialah kira-kira 1O tahun.
Sebagai pengutip buku-buku berbahasa Melayu, saya boleh menyenaraikan contoh-contoh lain.
Mula-mula mari berundur jauh ke semasa sekolah. Buku Joginder Singh Jersey, Sejarah Tanah Melayu (1400—1959), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1964 adalah dari versi bahasa Inggeris, “History of Malaya 1400 – 1959”, United Publishers, Pulau Pinang, 1961. Oleh kerana ia menjadi teks sekolah zaman pertatihan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di sekolah Menengah Kebangsaan ia digagahi terbit dalam versi terjemahan pada tahun 1963, tiga tahun kemudian. Kalaulah tiada buku ini tentulah pelajar-pelajar ketika itu tenggelam punca untuk meneroka kurikulum dan berpegang serta bersandar diri menghadapi mata pelajaran Sejarah.
Sebuah lagi buku sejarah umum yang awal diterjemahkan ialah Brian Harrison, Asia Tenggara Satu Sejarah Ringkas, 1966. Ia tersenarai sebagai Siri Buku2 Sekolah DBP Bil. 152. Buku asal yang dijadikan asas terjemahan berjudul South-East Asia: A Short History, Macmillan, London, 1963. Namun Buku ini telah ada versi tahun 1954. Ini bermakna sedia wujud 12 tahun sebelum munculnya buku khas untuk pelajar-pelajar sekolah menengah aliran Melayu itu.
Sebuah lagi, Benard H.M. Vlekke, Nusantara (Sejarah Indonesia), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967. Ia tersenarai sebagai Siri Buku2 Sekolah DBP Bil. 155. Buku yang menjadi sumber terjemahan ialah Nusantara: A History of Indonesia, 1966, N.V. Uitgeverij W. van Hoeve. Tetapi buku ini terbit pertama kali pada 1943. Bererti versi bahasa Inggeris mendahului 24 tahun. Aku sangat-sangat menggunakan buku ini ketika belajar di Tingkatan Enam Bawah pada tahun 1969 dahulu.
Menyusuli selepasnya ialah Harold M. Vinacke, “Sejarah Timur Jauh Dalam Zaman Moden”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967. Ia tersenarai sebagai Siri Buku2 Sekolah DBP Bil. 156. Buku mengandungi 1142 halaman ini kelihatan sangat tebal apalagi ia berkulit keras dan dicetak menggunakan jenis kertas yang membantu ketebalan itu. Buku bahasa Inggeris berjudul A History of the Far East in Modern Times, cetakan keenam, 1959. Buku ini asalnya terbit pada tahun 1950. Nyatalah, selepas 17 tahun baharu lahir versi bahasa Melayu. {Dalam koleksiku, inilah buku yang paling perlu dirawat dengan menyeluruh sebelum dianggap 80% terpelihara seperti sekarang. (Nota: buku ini pernah terlepas dari tanganku dan berpindah randah dari seorang ke seorang. Akhirnya ia dapat dimiliki semula setelah dengan susah payah peminjam terakhir itu kukunjungi dan menuntutnya.)
Sebuah lagi, D.G.E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka 1971. Asalnya ialah A History of South-East Asia”, Macmillan, London, edisi kedua. Saya pun memiliki versi bahasa Inggeris, Macmillan Student Editions, Third Edition, 1968. Buku ini sebenarnya terbit pertama kali pada tahun 1955. Edisi kedua (1964) yang digunakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tentulah sedikit berlainan dengan edisi ketiga 1968, tetapi sungguhpun edisi bahasa Melayu terbit pada tahun 1971 ia sebenarnya edisi yang bukan mutakhir ketika itu kerana edisi ketiga bahasa Inggeris pun terbit pada tahun 1968. Selain ketinggalan dari segi kandungan buku selama 21 tahun (1971 berbanding 1950) ia pula tidak berasaskan versi mutakhir bahasa Inggeris. Buku ini sebenarnya lebih banyak halamannya berbanding buku Vinacke itu, 1156 halaman, tetapi kerana jenis kertas yang digunakan menjadikan ia tampil nipis sedikit.
Dalam bidang sejarah juga, Graham Irwin, Borneo Abad Kesembilan Belas, Dewan Bahasa dan Pustaka 1986 berasal daripada buku Nineteenth-Century Borneo – A Study in Diplomatic Rivalry, versi 1955 yang dicetak semula pada tahun 1967 oleh Donald Moore Books, Singapore. Penterjemah Mohd. Nor Ghani dan Noraini Ismail hanya mengetengahkan buku ini 31 tahun selepas buku asal diterbitkan.
Buku, Goerge McTurnan Kahin, Nasionalisme dan Revolusi di Indonesia, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980 asalnya Nationalism and Revolution in Indonesia, Cornell University, 1952. Penterjemah Ismail bin Muhammad dan Zaharom bin Abdul Rashid, terkemudian 28 tahun mewujudkan versi bahasa Melayu.
Buku J.S. Furnivall, Hindia Belanda Satu Pengkajian Ekonomi Majmuk, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983 berasaskan teks Netherland India, A Study of Plural Economy, Cambridge University Press, London, 1939. Hisabnya, 1983-1939=44 tahun. Malang lagi, penterjemah buku ini tidak dicatat pun.
Buku hebat, R. Emerson, Malaysia, Satu Pengkajian dalam Pemerintahan Secara Langsung dan Tidak Langsung, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974 berasal Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule (in Malaya and Netherlands India), New York, Macmillan Company, 1937. Sebuah terjemahan yang ketinggalan 37 tahun. Malangnya kita tidak juga mengetahui penterjemahnya!
Buku Perdagangan Awal Indonesia Satu Kajian Asal Usul Kerajaan Srivijaya oleh O.W. Wolters diterjemahkan oleh Koesalah Soebagyo Toer. Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan versi bahasa Melayu ini pada 1989 berbanding versi asal bahasa Inggeris, Early Indonesian Commerce, A Study of the Origins of Srivijaya, terbit pada 1967, oleh Universiti Cornell. Ini bermakna pengamal bahasa Melayu menatapnya 22 tahun kemudian.
Image may contain: text that says "SEJARAH TANAH MELAYU 1400-195 1959)"
Zulkifli Salleh, WanRafar Ishak and 12 others
3 comments
2 shares
Like
Comment
Share

Comments

  • A History of Classical Malay Literature. Oxford: Oxford University Press. 1969. Ditulis oleh Winstedt. Ada diterjermahkan?
    Asalnya diterbitkan oleh MBRAS dgn Appendix yg ditulis oleh Zaaba. Bila diterbitkan sebagai buku, Apoendix tulisan Zaaba tidak disertakan.
    1
    • Like
    • Reply
    • 30 w
    • Edited
  • Saya tidak dapat menyatakan sama ada buku R.O. Winstedt itu diterjemah ke bahasa Melayu. Saya lebih berat menyatakan tiada.
    Sekadar melanjutkan, dalam fail dokumentasi peribadi saya “R.O. Winstedt” terdapat catatan saya sendiri seperti berikut:
    88. A History of Malay Literature, with a Chapter on Modern Developments by Zainal Abidin bin Ahmad, JMBRAS, 1939.
    89. A History of Malay Literature, MBRAS. Vol. XVII, Part III. Januari 1940. Luzac and Company. (Nota kaki: Disebut dalam M.B. Lewis, Teach Yourself Malay, p. 225. Saya telah meneliti A History of Classical Malay Literature (Oxford in Asia College Text), reprinted 1972 yang ada dalam koleksi peribadi. Diperhatikan ‘Author’s Preface’ yang asal itu tertulis “London, 1940.” Dalam pendahuluan ini Winstedt mengakui kerja-kerja awal van der Tuuk, Doctor W.H. Rassers, Doctor J. Brandes dan Doctor Ph. van Ronkel. Dinyatakan juga, dalam edisi kedua yang disediakan dalam tahun 1960, “and the chapter on nineteenth and early twentieth century Malay literature by Doctor Zain al’abidin has been omitted.” Dalam Amin Sweeney, A Full Hearing, p. 323, dinyatakan “....1939. “A History of Malay Literature.” JMBRAS 17(3): 1—243.”
    117. A History of Classical Malay Literature, 1958. Dikatakan pertama kali terbit pada tahun 1940. Asalnya, A History of Malay Literature, with a Chapter on Modern Developments by Zainal Abidin bin Ahmad, JMBRAS, 1939. (Nota kaki: Tentang pendekatan Winstedt dalam buku ini mendapat komen daripada Ismail Hussein seperti terbit dalam Strait Times 2 November 1959 dan Kassim Ahmad. Komen tersebut mendapat reaksi Winstedt seperti tersiar dalam Strait Times bertarikh 30 November 1959. Lihat sebahagian maklumat dalam Mohd. Zamberi Abdul Malek, Sir Richard Olaf Winstedt Orientalis atau Sarjana, muka surat 117-119. Amin Sweeney, A Full Hearing, p. 324, menyatakan buku ini asalnya dalam JMBRAS 31(3), 1958: 1—1-261.)
    2
    • Like
    • Reply
    • 30 w
  • Untuk mendapat gambaran atau pemerian yang berkronologi semenjak awal tentang kegiatan penterjemahan sumber-sumber daripada bahasa asing ke bahasa Melayu yang jelas bacalah Belham K., “Sejarah Awal Penerbitan Terjemahan”, Dewan Bahasa, September 2002, muka surat 30-35.
    2
    • Like
    • Reply
    • 2 w

No comments:

Post a Comment