Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 25/2020: Terbiasa selesa di belakang (2)

Saya melintasi ruangan “Obor”, Mastika Disember 1988 berjudul “Apa Untungnya Menguasai Bahasa Inggeris”, muka surat 24-25. Penulisnya, Norhayati Hashim, mengakhiri dengan kalimat, “Sebenarnya memang ada kebenarannya apabila orang berkata, ‘When you know English, you know this world.’
Lagi, sebuah rencana di halaman lain berjudul “Profesional Malu Guna Bahasa Malaysia?”, muka surat 44-45, melaporkan pandangan simposium kebahasaan yang sekian kalinya di Malaysia. Pandangan empat ‘pakar’ dikemukakan, dan rumusan pun tergubal.
Tokoh yang dijemput menutup seminar itu antara lain menyebut, “... bahawa perjuangan mendaulatkan bahasa Malaysia adalah satu proses intelektual dan pembudayaan yang memerlukan kerjasama massa. /... tanpa penglibatan yang serius segala usaha yang dilancarkan tidak akan menghasilkan pencapaian maksimum seperti yang diharapkan./Sebaliknya, ...’tanpa penerusan yang lebih serius, pandangan-pandangan dan rumusan yang dikemukakan akan tinggal sebagai catatan usang.”
Itu 32 tahun dahulu.
Sementara itu, mengengsut juga bidang penterjemahan buku-buku akademik untuk mengisi kecetekan kolam ilmu dalam bahasa Melayu.
Dalam bidang Pendidikan barangkali salah sebuah buku akademik bernilai terawal diterjemahkan ialah Gilbert Highet “Ilmu Mengajar”, Pustaka Antara/dengan kerjasama Penerbitan Franklin, 1963. Ia diterjemahkan oleh Abdul Majid Othman bersumberkan “The Art of Teaching”, Alfred A. Knopf, New York, 1950.
Selaku penerbit, Pustaka Antara antara lain menulis di 'blurb', “Yang menjadi kekuatan buku ini ialah kupasannya satu demi satu, penelitian yang tepat menguliti hingga kepada inti-intinya terhadap ratusan teori dan gagasan-gagasan .../ Ini merupakan pertolongan besar kepada manusia sejagat dengan perguruannya kerana adanya buku ini mempermudah guru-guru dalam usahanya ke arah pembentukan manusia sejati. Dan bagi kita adalah pertama kalinya mendapat buku yang begini baik untuk guru-guru kita. Kami harapkan semoga buku ini memberikan khidmatnya yang tepat dalam bidang pengajaran dan perguruan kita.”
Satu pengakuan, bahawa setelah 10 kali dicetak dalam bahasa Inggeris, dan 13 tahun tercicir berbanding sumber asal, kita baharu berpeluang menatap khazanah ilmu tertentu dalam bahasa Melayu. Dalam pada itu saya teringat melintasi buku Pedoman Guru Bahagian I & II; Kitab Pertolongan Ilmu Mengajar, (terjemahan tahun 1948) yang tersenarai sebagai The Malay School Series zaman Pejabat Karang Mengarang di SITC.
Seharusnya, saya menyebutkan bahawa Atan Long bertindak betul dengan mengarang Psikologi Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkannya pada tahun 1976 (Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 76). Sekurang-kurangnya mulai pertengahan dekad 1970an itu sudah terbibit kemungkinan karya asal orang tempatan mengambil ruang saujana yang telah lama disediakan.
Selanjutnya, Lester D. Crow dan Alice Crow, “Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan” (bersumberkan Educational Psychology, Litton Educational Publishing International Inc.), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980. Ia diterjemahkan oleh Habibah bt Elias. Buku asal terbit pertama kali pada 1948. Pelatih-pelatih guru di Malaysia hanya berpeluang berdepan buku dalam bahasa Melayu 32 tahun.
Buku, W.F. Connel (penyunting), Asas Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981 asalnya berjudul The Foudation of Education, Ian Novak, Sydney. Versi terbitan Cresset Press, London saya perhatikan terbit pada tahun 1962, mendahului hampir 20 tahun versi bahasa Melayu.
Buku, J.S. Farrant, Prinsip dan Amali Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981 [1977, cetakan pertama], terjemahan Sharifah Rahmah Ali dari The Principles and Practice of Education, Longman Group Ltd, cetakan kesebelas, 1971. Tetapi versi terawal ialah pada tahun 1964. Bermakna pembaca bahasa Melayu dapat menatap buku ini 13 tahun kemudian.
Sebuah buku yang secara sedar melihat pendidikan dari kaca mata Islam ialah Curriculum and Teachers Education, (1950) yang disunting oleh Muhammad Hamid Al-Afendi dan Nabi Ahmad Baloch. Tertulis pada ‘blurb’, “Sehingga hari ini kebanyakan negara Islam tidak dapat merangka rancangan latihan guru tempatan yang memuaskan dengan berasaskan impian Islam secara keseluruhan, tetapi terus menyokong idea Barat tentang pendidikan guru yang tidak menekankan kepentingan keutuhan agama seseorang guru seperti yang dituntut oleh Islam.”
Tiga orang, Ahmad Jaffni Hassan, Mohamad Nordin Zainuddin dan Asiah Idris telah menterjemahkan buku tersebut dengan judul “Kurikulum dan Pendidikan Guru”. Buku ini diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990. Maknanya para guru atau masyarakat pendidikan Malaysia terdedah kepadanya 40 tahun kemudian! Namun, menilai situasi kependidikan negara tahun 2020, buku ini masih relevan.
Image may contain: text that says "Ilmu Mengajar oleh: GILBERT HIGHET"
Nor Zatul, As Abbas and 4 others
1 comment
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Sekadar catatan. Melintasi, Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail, “Menangani Hambatan Sosio-budaya dalam Terjemahan Psikologi Pendidikan”, Jurnal Penterjemah, Januari—Disember 2014, Jilid XVI Bil. 1&2, muka surat 92-107. Esei ini membincangkan masalah penterjemahan buku Educational Psychology, Boston: Allyn and Bacon, (2001, edisi kelapan) karya Anita Woofolk oleh empat orang pensyarah Universiti Utara Malaysia. Masa diambil ialah hampir dua tahun. Teks sumber asal Amerika Syarikat membawa masalah kepada penterjemah berkaitan budaya rakyat Amerika, konsep pendidikan di Amerika dan istilah psikologi pendidikan.
    • Like
    • Reply
    • 30 w

No comments:

Post a Comment