Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 26/2020: Terbiasa selesa di belakang (3)

Kata Syed Hussein Alatas, “Dalam hal bahasa kita tak boleh berfikiran sempit. Sebagai bangsa yang sedang maju, kita juga hendak berdagang dan berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa. Jadi, kita juga perlu tahu bahasa kedua, ketiga, keempat, atau ke berapa sekalipun. Mengetahui satu bahasa samalah kita hanya makan satu diet saja, macam lembu atau kerbau yang hanya tahu makan rumput./Oleh kerana bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa maka kita perlu menguasainya seperti kita menguasai bahasa Melayu. Tujuannya ialah supaya kita dapat gunakan bahasa Inggeris itu untuk menimba ilmu-ilmu baru yang boleh meningkatkan pengetahuan kita./Saya sendiri tahu lima bahasa; Belanda, Inggeris, Jerman, Melayu/Indonesia dan Sunda.”
(Lihat, Wahba, “Mengapa Saya Campur Politik” (Temuramah Khas dengan Profesor Syed Hussein Alatas), Mastika, September 1989, muka surat 6-9). Ketika itu beliau Naib Canselor, Universiti Malaya, mulai 1 Mei 1988.
Kalau tidak kita perlu menumpukan kepada bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Dalam tak kira apa bidang pun; bidang sejarah , bidang....
Sebuah buku sejarah yang juga penting ialah W.N. Weech, (perancang dan penyunting), “Sejarah Dunia” Jilid I dan Jilid II, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976. Buku asalnya sejilid, History of the World. Buku asal terbit pada tahun 1944 tetapi untuk terjemahan naskhah yang digunakan ialah terbitan The Hamlyn Publishing Group Ltd, Land, edisi kedua, 1959. Sebenarnya ada edisi ketiga bahasa Inggeris tahun 1965.
Dewan menyatakan buku ini termasuk di bawah Rancangan Terjemahan Buku Tingkatan Enam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Penterjemah terdiri daripada Abdul Karim Abdullah dan Hamidah Shamsuddin. Jilid I mengandungi lapan bahagian yang mengandungi 43 bab, ditampungi 697 halaman.
Jilid II diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981. Penterjemah-penterjemahnya kedua mereka yang sama disertai seorang lagi, Wan Ismail Wan Hamat. Jilid ini lebih tebal iaitu 815 halaman. Ia bermula dengan Bahagian IX hingga XIV (meliputi Bab 44 hingga Bab 83) diikuti Epilog dan Indeks.
Sungguhpun tiada sebarang kenyataan di kulit Jilid I, pada kulit belakang Jilid II tertulis, “... buku ini mempaparkan perkembangan sejak dari Zaman Pembaharuan – iaitu Perkembangan di bidang kesenian, kejumpaan dan juga di bidang Sains; di mana perkembangan ini telah membawa kepada berbagai perubahan dalam kehidupan masyarakat Eropah.” Lagi, “... telah memberi penekanan yang lebih ditail terhad peristiwa-peristiwa sebelum, semasa dan sesudah berlakunya Perang Dunia Pertama , Perang Dunia Kedua dan akhirnya bagaimana Amerika Syarikat berjaya menjadi Kuasa Utama dunia.”
Apa pun, berbanding edisi bahasa Inggeris, edisi bahasa Melayu muncul di kalangan pelajar Malaysia 32 hingga 37 tahun kemudian. Sebagai koleksi peribadi saya membeli kedua-dua jilid ini pada 7 Mac 1990 ketika bertugas di Terengganu. Ini bermakna selepas 46 tahun pertama kali terbit dalam bahasa Inggeris!
Buku, R.L. Watts, “Negara-negara Persekutuan Yang Baharu, Percubaan Dalam Komanwel”, (Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 127), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979. Buku asal terbitan Oxford University Press, London, 1966, New Federations Experiments in the Commonwealth, diterjemahkan oleh Zainudin bin Awang Ngah. Enam jenis persekutuan yang ditinjau ialah di negara-negara India, Pakistan, Tanah Melayu dan Malaysia, Nigeria, Rhodesia dan Nyasaland dan Hindia Barat. Pun, kita berpeluang membaca dalam bahasa Melayu selepas melepasi jarak antara kedua-dua versi 13 tahun.
Buku, C.P. Fitzgerald A Concise History of East Asia ialah edisi Hong Kong, 1966 terbitan Heinemann Educational Books Asia, Ltd. Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkannya dengan judul Intisari Sejarah Asia Timur, 1970 dan tersenarai sebagai Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 13. Buku ini terdiri daripada tiga bahagian merangkumi 11 bab. Bahagian I memerikan China, Bahagian II mengkhusus Jepun dan Korea, dan Bahagian III mengenai Asia Tenggara. Buku ini secara relatif tidaklah jauh berbeza penerbitannya, iaitu 4 tahun.
Buku, David Thomson, Europe Since Napoleon, Penguin Books Ltd, 1957 diterjemahkan ke dalam dua jilid, berjudul “Eropah Sejak Napoleon, Jilid I, Dewan Bahasa dan Pustaka 1982, xix, 622 halaman. Ini bermakna pengguna bahasa Melayu paling awal pun membacanya 25 tahun selepas buku asal diterbitkan. Buku dalam bahasa Inggeris saya miliki dan lengkap hanya dalam satu jilid.
Jilid I mengandungi 5 bahagian mengandungi 18 bab. Bahagian 1 berjudul Eropah dalam Bahaya, 1789 – 1814; Bahagian 2 berjudul, “Eropah dalam tahun 1815; Bahagian 3 berjudul “Zaman Revolusi, 1815 – 50; Bahagian 4 berjudul “Kemunculan Kuasa-kuasa Baru, 1851 – 71; dan Bahagian 5 berjudul “Demokrasi dan Sosiolisme, 1871 – 1914”.
Saya tidak memiliki Eropah Sejak Napoleon, Jilid II. Bagaimanapun melalui layaran internet didapati ia diterbitkan pada tahun 1978 [?], xvi, 629 halaman dan tersenarai sebagai Siri Pelajaran Tinggi DBP. Bil. 123.
Berdasarkan buku milik saya dalam bahasa Inggeris, Part 6, Imperial Rivalries and International Alliances 1871—1914; Part 7, War and Peace, 1914—23; Part 8, The Age of Demolition, 1924—39; Part 9, War and Peace, 1939—60; Part 10, Epilogue: Contemporary Europe. Saya juga perhatikan halaman “Select Bibliography” dan “Index” versi bahasa Inggeris meliputi pp. 947-1004.
Buku, Richard Storry, A History of Modern Japan, Penguin Books, Ltd, 1975 diterjemahkan berjudul Sejarah Jepun Moden, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, xxi, 294 halaman. Buku ini, versi terawal terbit tahun 1960. Pada perenggan terakhir buku versi bahasa Melayu, tertulis, “Tenaga yang tidak dapat ditekan dan cintakan keindahan yang semula jadi adalah unsur-unsur asasi dalam keperibadian orang Jepun, dan adalah di antara sifat mereka yang paling dipuji. Oleh kerana mempunyai sifat ini, maka banyaklah yang dapat diberi oleh bangsa ini kepada dunia.” ( muka surat 282)
Buku, Anil Seal, Kemunculan Nasionalisme India Persaingan dan Persubahatan Pada Akhir Abad Kesembilan Belas, Dewan Bahasa dan Pustaka 1987, xx, 494 halaman, diterjemah daripada versi bahasa Inggeris, The Emergence of Indian Nationalism, Competition and Collaboration in the Later Nineteenth Century terbitan Cambridge University Press, London, 1968, pp. xvi, 416. Penterjemahnya ialah Ainon Bakar. Bandingkan ketebalan buku berlainan versi itu yang berbeza sehingga 78 halaman! Jarak tahun penerbitan pula ialah hampir-hampir 20 tahun!
[Catatan: Dalam tahun-tahun 1996-97 saya sempat berinteraksi dengan Dr. Anil Seal dalam urusan rasmi selaku Setiausaha program mewujudkan Cawangan University Cambridge di Malaysia. Usaha itu sampai ke peringkat 80 peratus berjaya.]
Image may contain: text that says "ANIL SEAL KEMUNCULAN NASIONALISME INDIA Persaingan dan Persubahatan Pada Akhir Abad Kesembilan Belas Terjemahan AINON BAKAR"
Zulkifli Salleh, WanRafar Ishak and 10 others
1 comment
Like
Comment
Share

Comments

  • Buku Richard Storry, Sejarah Jepun Moden, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, xxi, 294 halaman telah diiklankan berwarna dalam Dewan Masyarakat, Mei 1968.
    Image may contain: text that says "richard storry SEJARAH JEPUN MODEN SEJARAH JEPUN MODEN Kemajuan Jepun dalam masa yang singkat hingga kini di-samakan de- ngan Amerikada dan Negaraz Eropah ada-lah mengkagumkan. Bagai- mana bangsa Jepun memperoleh kemajuan yang pesat dalam segala bidang kehidupan dapat di-bacha dalam buku ini. Buku ini di-sedia- kan sa-bagai bachaan untok pela- jaran sejarah di-sekolah2 menengah atas dan untok bachaan umum. Dewan Bahasa dan Pustake sa-buah $3.50"
    1
    • Like
    • Reply
    • 27 w

No comments:

Post a Comment