Rapuh 27/2020: Terbiasa selesa di belakang (4)
Buku, Fred R von der Mehden, Politics of the Developing Nations, Prentice-Hall, edisi kedua, 1969 diterjemahkan berjudul Politik Negara-negara Membangun, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, xv, 199 halaman, $7. Penterjemahnya ialah Hussain Mohamed (M.A.). Saya perhatikan edisi terawal buku asal terbit pada 1964. Naskhah ini ada dalam koleksi peribadi saya: A Spectrum Book, Prentice-Hall, Inc., Eaglewood Cliffs, N.J., xi, pp. 140, Appendix. Perhati dan bandingkan ketebalan edisi-edisi berlainan bahasa itu: 140 pp. bahasa Inggeris lawan 190 halaman bahasa Melayu!
Sekadar memetik secara mudah; “... Di setiap buah negara ini [India, Malaysia dan Filipina], kemerdekaan telah menghasilkan penubuhan kerajaan yang relatif mantap yang dipimpin oleh pemimpin politik yang terpelajar, dan ini diperkuatkan lagi dengan terdapatnya pegawai-pegawai awam yang terlatih serta sentiasa mengekalkan hubungan rapat dan bersahabat dengan kerajaan bekas tanah jajahan mereka. Biarpun begitu, mereka yang cuba meramalkan keadaan masa depan bekas tanah jajahan itu haruslah menyedari bahawa warisan kolonialisme yang terdapat di India, Malaysia dan Filipina itu amat jarang ditemui.” (hlm. 35)
Asalnya, “In each case, independence resulted in the formation of relatively stable governments led by educated leaders, backed by trained civil servants, and maintaining close and friendly relations with their former colonial rulers. Nevertheless, those who would predict the future of former colonies should note that such a colonial heritage as that enjoyed by India, Malaya, and the Philippines is very rare indeed.” (p. 28)
Buku ini mengandungi lampiran Negara-negara Membangun yang saya kira sendiri berjumlah 94 semuanya. Nampaknya, kecuali beberapa buah (Korea Selatan, Taiwan, Singapura, China) negara-negara itu tetap bertaraf membangun puluhan tahun kemudian iaitu sampai kini!
Sebuah lagi buku, Renato Constantino, Pilihan Nasionalis, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, xiii, 168 halaman, $12. Judul asalnya The Nationalist Alternative, Foundation for Nationalist Studies, Quezon City, Filipina, 1984 [1979, edisi pertama ]. Buku ini diterjemahkan oleh Jomo K.S.
Berbanding dengan kebanyakan buku-buku terjemahan yang lain, buku ini dianggap tidak terlalu jauh kelewatannya walaupun masih sedekad lamanya. Pendukung bahasa Melayu tidaklah kecewa kerana kandungan buku ini masih dihalusi demi penambahbaikan negara ini.
Daripada lima bab buku ini, Bab 4 berjudul “Pilihan Nasionalis”, muka surat 108-134. Judul-judul kecil di bawah bab ini, secara terpilih, dikutip, “Penindasan Nasional dan Hak Asasi Manusia”, “Retorik Nasionalis”, “Mencipta Mitos Baru”, “Peranan Kelas Menengah”, “Asas Perpaduan”, “Matlamat yang Bertentangan”, “Kuasa ‘Tawar-menawar”, “Menuju Kemerdekaan Ekonomi”, dan banyak lagi.
Edisi kedua yang digunakan sebagai bahan sumber terjemahan telah banyak dipinda pengarangnya. Beliau menulis, antara lain, “Adalah menjadi harapan saya bahawa edisi baru ini sedikit sebanyak akan membantu usaha mereka yang berani berkerja kuat untuk menyedarkan, menyusun dan menggerakkan rakyat kita untuk mencapai kemerdekaan ekonomi, kedaulatan politik serta masyarakat demokratik – iaitu tiga matlamat asas nasionalisme.”
Renato Constantino, sejarawan Filipina, lahir pada tahun 1919 dan meninggal dunia pada 15 September 1999.
No comments:
Post a Comment