Rapuh 28/2020: Terbiasa selesa di belakang (5)
Judith Djamour menulis: “Dalam buku ini, tujuan saya ialah untuk membuat analisa mengenai struktur kekeluargaan dan perkahwinan orang Melayu Singapura berdasarkan kajian saya di sana yang dibuat semata-mata dalam tempoh dua tahun iaitu antara tahun 1949 dengan 1950.” (muka surat x)
Demikian sedikit petikan “Pengenalan” Judith Djamour dalam buku terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, “Kekeluargaan dan Perkahwinan Orang Melayu Singapura, x, 209 halaman, $10. Lalu buku ini menjadi Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 122. Buku ini dalam bahasa Inggeris berjudul Malay Kinship and Marriage in Singapore, University of London, The Athlone Press, 1959, 1965.
Tak apalah kita mempunyai naskhah bahasa Melayu selepas 20 tahun pengarang selesai menerbitkan kajian berkenaan di London – dalam bahasa Inggeris!
Tetapi tahukah orang Melayu bahawa banyak kenyataan dalam buku ini diketahui selepas puluhan tahun kemudian?
Saya ambil dua contoh. Pertama, “Hanya sebilangan kecil sahaja orang Melayu Singapura benar-benar bersembahyang lima kali sehari atau menyatakan mereka berbuat demikian.”
Kedua, “Samalah juga, hanya sebilangan kecil sahaja orang Melayu yang berpuasa cukup sebulan pada bulan Ramadan. ... di Singapura orang Melayu pada keseluruhannya agak bebas untuk makan di khalayak ramai di bulan Ramadan.” (muka surat 18)
Kita beralih ke sebuah buku yang sangat terkenal di kalangan peneliti politik Melayu tradisional dikarang oleh J.M. Gullick, Indegenous Political Systems of Western Malaya, 1958, 1965, University of London: The Athlone Press.
Dahulu, orang-orang Melayu yang hendak mengetahui aspek ini kena merujuk buku Inggeris itu ketika menuntut di universiti. Tiada pilihan kecuali membacanya. Mujurlah 22 tahun selepas buku asal itu terbit Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkannya untuk menjadikan Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 4. Judul bahasa Melayunya ialah Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat, vii, 214 halaman, $3.80. Edisi pertama terbit pada 1970. Saya menyimpan senaskhah edisi kedua, cetakan pertama 1978.
Kita tidak mengetahui siapakah yang menterjemahkan. Pun begitu, mari garapi petikan terjemahan untuk menilainya:
“Pemerintah sebuah daerah ialah seorang pembesar yang diambil dari satu zuriat yang telah lama mempunyai hubungan dengan daerah itu. Selain daripada hubungan tempatan dengan tiap-tiap daerah, zuriat para pembesar ini juga setidak-tidaknya membentuk satu golongan pemerintah yang bersatu bagi seluruh Negeri.”
Pada awal tahun 1970an, salah seorang pensyarah Sejarah yang saya ikuti kuliahnya di universiti dahulu bernama Profesor Leonard Y. Andaya. Beliau ketika itu sedang mengkaji sebuah projek yang berakhir dengan penerbitan buku The Kingdom of Johor 1641—1728 Pembangunan Ekonomi dan Politik. Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1975.
Ini saya anggap sebuah karya hebat. Beliau banyak menggali sumber Belanda yang tidak sangat dilakukan oleh para sarjana kita. Di samping itu beliau juga memberi perhatian berat terhadap sumber-sumber tempatan.
Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku beliau kepada edisi bahasa Melayu pada tahun 1987. Buku ini setebal xvii, 506 halaman, $40. Ia adalah terjemahan Shamsuddin Jaafar. Walaupun 12 tahun di belakang edisi bahasa Inggeris, kita bacalah sedikit isinya.
“Sepanjang Bendahara [Tun Habib Abdul Majid] memegang tampuk pemerintahan, beliau benar-benar ingin menunjukkan sikap patuhnya terhadap semua prinsip yang telah dipersetujui berkaitan dengan raja dan Orang Kaya. Apabila Sultan Mahmud mencapai usia dewasa baginda dalam tahun 1695, Bendahara telah memainkan peranan yang tidak ketara sedangkan beliau sebenarnya masih memegang tampuk pemerintahan dengan kukuhnya. Kejayaan Bendahara dalam mengamalkan pengaruh beliau yang sederhana ke atas raja tidak langsung dihargai sehinggalah selepas kematian beliau, apabila segala perlakuan bebas raja yang muda tidak dapat dikawal oleh menteri-menteri yang kurang bijak dan berkemampuan. Bendahara adalah seorang pengganti Paduka Raja [Tun Abdul Jamil] yang bijak, dan menjelang tahun 1697, tidak syak lagi Johor adalah sebuah kuasa ekonomi dan kuasa ketenteraan yang unggul di alam Melayu ini.” (muka surat 243-244)
No comments:
Post a Comment