Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 29/2020: Terbiasa selesa di belakang (6)

Buku Robert Lloyd George, 1991. The East-West Pendulum. Woodhead-Faulkner, United Kingdom diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka versi bahasa Melayunya pada tahun 1997 dengan judul Ayunan Timur-Barat, xx, 165 halaman, RM20. Buku ini diterjemahkan oleh Nawi Jusoh.
Secara relatif terjemahan ini dikira “pantas” kerana jarak tahun terbit bagi kedua-dua versi Inggeris/Melayu itu tidak lebar, hanya 6 tahun. Tentulah ada sebab tertentu kelainan ini terjadi. Saya menelah, kerana bidang cakupan buku ini terlalu dinamik untuk diabaikan kerelevanannya.
Agar lebih difahami, keterangan di kulit belakang, sebahagian saya petik. Buku ini, “menerangkan bagaimana kawasan Asia-Pasifik, dengan kuasa belanjanya yang baru, teknologinya yang baru dan sumber-sumber modalnya yang berkembang, telah menggantikan Amerika Syarikat sebagai daya penggerak ekonomi dunia.”
Pada ‘blurb’ tertulis pula, “menyediakan rangka rujukan yang tidak ternilai untuk ahli-ahli bank, pengarah tabung, broker saham dan penasihat kewangan bebas begitu juga untuk ahli-ahli sejarah dan pelajar-pelajar di Asia.”
Pengarang juga membuat "ramalan hingga tahun 2000."
Sekadar menyentuh dan mengetengahkan yang dibincangkan tentang Malaysia, dari segi risiko-risiko – politik, ekonomi dan kadar pertukaran.
Sebahagian, kata pengarang: “Seorang ahli sejarah mesti berpandangan jauh dan mengatakan bahawa komposisi etnik Malaysia boleh mengakibatkan ketegangan pada masa depan terutamanya jika petumbuhan ekonomi merosot.”
Tentang risiko ekonomi, “seseorang patut yakin bahawa rekod ekonomi Malaysia akan terus cerah.” Mengenai risiko kadar pertukaran, “Bagi pelabur Malaysia tetap menarik walaupun mudah terjejas akibat kejutan luar sama ada dari segi harga komoditi atau kekurangan permintaan eksport dalam pasaran utamanya.” (muka surat 94-96)
Sedikit kalimat kalimat terakhir buku ini dipetik juga, “Pada abad ke-21, arus itu akan menjadi terbalik. Tekanan dan pengembangan akan datang dari Timur. Tekanan tersebut mungkin tekanan yang aman tetapi kedinamikan ekonomi Asia pasti semakin merebak dengan cara yang tidak terkira banyaknya, ke dunia Barat.”
Walaupun remeh, terdapat beberapa petikan dimuatkan pengarang pada helaian awal bukunya, sebagai menguja pembaca. Tetapi saya memilih yang diambil daripada Rudyard Kipling, tentulah yang telah dialihbahasakan:
“Oh! Timur itu Timur, dan Barat itu Barat, dan perseirasannya tidak akan bertemu
Sehingga Bumi dan Langit seperti kini sebagaimana hukum Tuhan tetapkan
Tetapi di sana tiada Barat tiada Timur, Sempadan tiada Jangkauan, tiada Kelahiran
Bila dua lelaki gagah bersemuka, meskipun mereka datang dari Hujung Bumi.” (muka surat viii)
Tetapi, terlepas semua yang di atas itu, tertanya-tanya pula saya. Adakah “ahli-ahli bank, pengarah tabung, broker saham dan penasihat kewangan bebas” memilih versi bahasa Melayu ini sedangkan mereka menguasai bahasa versi asalnya? Tentulah jawapan tidak terselindung lagi!
Jadi, siapakah selain itu yang sudi? Ahli-ahli (atau lebih kenanya penggemar) sejarah, segelintir seperti saya. Sedangkan, “pelajar-pelajar” mahukah mereka?
Ataukah, kita bergembira kerana sebuah lagi buku terbit dalam bahasa Melayu membicarakan subjek tumpuan global?
Image may contain: text that says "AYUNAN TIMUR BARAT Robert Lloyd George"
Zulkifli Salleh, WanRafar Ishak and 7 others
1 comment
Like
Comment
Share

Comments

  • Kebetulan, saya juga memiliki sebuah buku asli bahasa Melayu yang membincangkan perkara yang tidak jauh berbeza, Abibullah Haji Samsudin, Nooriah Yusof dan Morshidi Sirat. 2000. Asia Timur Pusat Pertumbuhan Baru Ekonomi Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, vii, 267 hlm., RM30. Dinyatakan pada kulit belakangnya bahawa ia sebuah buku “lanjutan daripada perbincangan dua buah buku terdahulu yang juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Pemindahan Teknologi Dalam Industri Elektronik di Malaysia (1994) dan Kegiatan Perindustrian di Negara-negara Dunia Ketiga: Cabaran dan Harapan (1997).”
    Dalam bibliografi Bab 1, termasuk juga “George, R.L., 1992. The East-West Pendulum. London: Woodhead-Faulkner.” dan TIDAK, 1997. Ayunan Timur-Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
    Image may contain: text that says "ASIA TIMÜR PUSAT PERTUMBUHAN BARU EKONOMI DUNIA Abibullah Haji Samsudin Nooriah Yusof Morshidi Sirat"
    • Like
    • Reply
    • 30 w

No comments:

Post a Comment