Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 31/2020: Terbiasa selesa di belakang (8)

Pengetahuan awal saya tentang Filipina umumnya berdasarkan pembacaan buku-buku sejarah yang mengandungi sejarah negara-negara Asia Tenggara. Bukan buku sejarah khusus tentang Filipina. Seperti dalam buku-buku teks sejarah yang terpakai di sekolah ketika itu. Pembacaan demikian tidak pula menyeluruh. Dengan begini pun ia tetap menimbulkan keseronokan terutama tentang perjuangan kemerdekaan dan tentang Jose Rizal.
Bagaimanapun pengetahuan saya tentang Filipina bertambah apabila memiliki beberapa buku oleh tokoh-tokoh sejarawan Filipina seperti Zaide, Agoncillo, Constantino dan buku-buku bukan sejarah yang lain-lain.
Buku tumpuan hari ini, karangan Gregorio F. Zaide yang telah diterjemah dan diterbitkan berjudul, Sejarah Politik dan Kebudayaan Filipina Jilid Satu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978 cetakan kedua, 614 hlm., $12. Sumber terjemahan asal berjudul Philippines Political and Cultural History, Volume I. Penterjemahnya ialah Cik Rosnah binti Talib dan penyuntingnya Cik Zaleha binti Ismail. Buku dalam koleksi saya adalah cetakan kedua 1978. Cetakan pertamanya pada tahun 1972. Buku ini tersenarai sebagai “Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 40”.
Sebenarnya tanpa melakukan selidikan, tidak banyak diketahui sejarah penerbitan buku asal itu. Tiada maklumat berkaitan dinyatakan dalam versi bahasa Melayu. Namun, saya akhirnya memperoleh keterangan asas bahawa versi awalnya terbit pada tahun 1949, diikuti edisi semakan 1953, kedua-duanya terbitan Philippine Education Co., Manila.
Buku Jilid I ini mempunyai judul kecil atau lanjutan, “Filipina Sejak Zaman Sebelum Pemerintahan Sepanyol”. Tentang ini, kata Zaide, dalam Pendahuluan bertarikh 15 Oktober 1957: “Beberapa orang pengarang, terutamanya pengarang-pengarang Amerika dan Sepanyol, telah menulis sejarah zaman ini. Tetapi memang tak dapat dielakkan lagi bahawa sejarah-sejarah itu ditafsirkan dari segi pendapat orang Amerika atau Sepanyol, iaitu bergantung kepada bangsa pengarangnya. Dengan sebab inilah maka pensejarahan kita telah bertinta dengan prasangka bangsa, taksub perkauman ataupun kejahilan seseorang itu. Oleh itu perlulah ada tafsiran baharu mengenai sejarah kita.” (muka surat vii)
Selanjutnya, Profesor Zaide menulis: “...; sebenarnya adalah berfaedah dan sangat menarik hati jika diselamatkan ciri-ciri yang utama dan kejayaan-kejayaan sesebuah negara daripada ditelan zaman dan dengan demikian itu mengekalkan saganya untuk warisan penduduknya.” (Ibid.). Perhatikan bahasa Melayu terjemahan ini.
Ketika buku asal terbit tercatat Profesor Zaide menjawat Ketua, Jabatan Sejarah, Universiti Far Eastern. Dalam melayari Wikipedia untuk lebih mengenali Zaide, diketahuilah beliau lahir pada 25 Mei 1907 dan meninggal dunia pada 31 Oktober 1986.
Saya tertarik untuk memetik satu pandangan pihak lain tentang beliau; “Zaide has been criticized for portray in history in a way that put the Philippines’ colonial experience under the Spanish and the Americans in an over-simplistically positive light.”
Saya meneliti Bibliografi tersenarai di bahagian akhir buku. Terbacalah, bahawa tesis sarjana Zaide di Universiti Filipina pada tahun 1931 berjudul, “History of the Evangelical Labor of the Recollect Fathers in the Philippines. Kemudian beliau mengemukakan tesis dokteretnya berjudul Philippines Civilization kepada Universiti Santo Tomas pada tahun 1934.
Image may contain: text that says "GREGORIO F.ZAIDE Sejarah POLTK oKa dan FLPNA JILID SATU"
M Jusoff Taib, WanRafar Ishak and 9 others
1 share
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment