Rapuh 32/2020: Terbiasa selesa di belakang (9)
Magellan mengemukakan cadangan beliau ‘mencari jalan baharu ke Pulau-pulau Maluku” di hadapan raja Sepanyol. “Dia mengkagumkan para hadirin di Istana dengan mengenalkan hamba Melayunya bernama Enrique dan seorang hamba perempuan dari Sumatera dan menyuruh mereka berdua itu berbual-bual dalam bahasa ibunda mereka”.
Magellan disertai 265 orang anak kapal dalam pelayarannya. Salah seorang anak kapal itu bernama “Enrique, hamba Melayu Magellan yang juga menjadi jurubahasanya”. ( muka surat 161). Angkatan itu terdiri daripada lima buah kapal, masing-masing bernama Trinidad, San Antonio, Concepcion, Victoria dan Santiago.
Yang menariknya, sebelum belayar Magellan menulis wasiat bertarikh 24 Ogos 1519, mengandungi juga, “... bahawa apabila dia meninggal dunia kelak hamba Melayunya, Enrique, hendaklah dibebaskan dengan mempesakai 10,000 matavedi [maravedi?].”
Pada muka surat lain, (muka surat 172) “Magellan dapat berbual-bual dengan Rajah Kolambu dengan pertolongan hambanya Enrique (Traprobana) yang menjadi jurubahasanya. Bahasa Melayu Enrique difahami oleh penduduk Filipina.”
Dari segi pemerian sejarah pelayaran itu, orang yang sangat penting di antara anak-anak kapal itu ialah Antonio Pigafetta berbangsa Itali. Beliau sendiri menyatakan tujuan menyertai angkatan Magellan, “untuk melihat dunia dan berbagai-bagai benda ajaib di dalamnya” dan “untuk mendapat kemasyhuran untuk anak-anak cucunya kemudian kelak.” (muka surat 161)
Bagaimanakah kemasyhurannya Pigafetta berbangkit?
Beliau adalah salah seorang yang terselamat dan kembali semula di Sepanyol. Berdasarkan pengalaman itu ditulisnya buku bersejarah, “First Voyage Around the World” terbit dalam bahasa Perancis pada tahun 1525 dan dalam bahasa Itali dalam tahun 1536.
Dalam buku Zaide, Sejarah Politik dan Kebudayaan Filipina Jilid I, kita membaca, bahawa Magellan terbunuh dalam peperangan di Pulau Mactan. Pengganti Magellan, Duarte Barbosa tidak mematuhi wasiat dan tidak membebaskan Enrique. Akibatnya Enrique, mengikut Pigafetta, membuat pakatan sulit dengan raja Cebu untuk mengkhianati angkatan Sepanyol itu.
Zaide menganggap itu hanya tohmahan “menunjukkan prasangka bangsa.” Tetapi asas demikian itu nampaknya yang diketengahkan oleh Harun Aminurrashid dalam Panglima Awang.
Mengikut Zaide, dalam satu peristiwa selepas itu di Cebu diceritakan Raja Hamabun telah menjemput Barbosa dan orang-orang Sepanyol hadir kerana hendak menyerahkan “batu-batu permata yang telah dijanjikan untuk dipersembahkan kepada raja Sepanyol” dalam majlis jamuan yang diaturkan pada 1 Mei 1521. Rombongan Sepanyol itu telah diserang sebaik jamuan bermula. Mengikut suatu sumber, yang terbunuh termasuklah Enrique, hamba Melayu Magellan. (muka surat 185)
Dalam novel Panglima Awang gambarannya berlainan. Diceritakan ketika mengiringi Fernando [Magellan] mengadap Raja Hamabun di Cebu, Enrique ditanya;
“Hai orang muda engkau siapa dan apa bangsamu?”
Setelah berbincang dengan Fernando, Enrique menjawab, “Patik sendiri orang Melaka, bekas tawanan Portugis dibawanya ke negerinya hendak dijadikan hamba; tetapi patik bernasib baik ditolong oleh Laksamana Fernando [Magellan] yang baik hati ini, dan sekarang patik menolong ia dalam pelayaran.” (muka surat 157)
Berikutnya, Raja Hamabun telah menjadikan Panglima Awang (Enrique) sebagai “orang besar dalam negeri ini dan membantu aku dalam segala kesusahan bila-bila berbangkit.” (muka surat 158).
Ketika itu Raja Hamabun sedang menghadapi pemberontakan pembesar Lapu-lapu yang berkuasa di Pulau Mactan. Dalam memenuhi permintaan Raja Hamabun untuk menundukkan Mactan, Fernando menyerang pulau tersebut tetapi terbunuh sedangkan Enrique cedera.
Setelah bermuafakat sulit dengan Raja Hamabun, Panglima Awang merancang menangkap Barbosa dan angkatan Sepanyol. Dalam serangan yang dilakukan, Barbosa terbunuh dan kapalnya ditawan. Dua lagi kapal Sepanyol sempat melepaskan diri.
Akhirnya Panglima Awang minta izin meninggalkan Cebu. Beliau menaiki kapal dagang Siam yang hendak ke Melaka.
Kata, Harun Aminurrashid, “Pada hari Panglima Awang hendak meninggalkan Pulau Cebu ia dijamu oleh Raja Hamabun dengan sulit. Kemudian dibekalkan dia oleh raja dengan beberapa banyak emas untuk melancarkan perjuangan di Melaka nanti....”
Zaide menulis, dua buah kapal belayar pulang ke Sepanyol. Victoria di bawah perintah Sebastian del Cano melalui Tanjung Harapan, dan Trinidad di bawah perintah Gomez de Espinosa melalui Lautan Pasifik menuju Panama. Victoria disertai 60 anak kapal – 47 Eropah dan 13 Melayu. Hanya 18 Eropah dan 4 orang Melayu selamat tiba di Sepanyol pada 6 September 1522, selepas meninggalkan negara itu “dua tahun, sebelas bulan enam belas hari.” (muka surat 190-191). Kemudian 13 orang lain yang ditahan di Portugal ketika Victoria singgah di Cape Verde dalam pelayaran balik itu telah juga akhirnya tiba.
Kapal Trinidad gagal meneruskan pelayaran kerana bocor setelah belayar di Pasifik selama tujuh bulan. Ia berpatah balik dan akhirnya ke Tidore menyerah diri kepada pihak berkuasa Portugis di situ. Daripada anak kapal yang terselamat, empat orang akhirnya tiba juga di Sepanyol pada tahun 1526.
Bagaimanapun, hasil keuntungan daripada rempah-ratus yang dimuat pulang oleh Victoria menebus perbelanjaan menyediakan lima kapal yang terbabit. Malah, masih ada keuntungan yang diraih.
Kata Zaide, “Sesungguhnya menjadi suatu sindiran sejarah yang amat pedih bahawa bukan sahaja Magellan dan juga orang-orang yang percaya kepadanya mengalami nasib yang amat menyedihkan bahkan segala anugerah dan penghormatan yang sesungguhnya berhak didapatinya telah dirampas daripadanya. Dia telah meninggal dunia dalam peperangan di tepi pantai sebuah negeri yang jauh dari tanah airnya sendiri, tanpa mendapat upacara perkebumian sewajarnya secara seorang Kristian, dia telah dipandang aib di negeri Sepanyol kerana dituduh kononnya zalim dan tidak setia, dan di Portugal pula dia diisytiharkan sebagai seorang pengkhianat kerana telah bersungguh-sungguh berkhidmat kepada negeri Sepanyol. .... Riwayat hidup Magellan sungguh amat mendukacitakan – dan nasibnya pula sungguh menyedihkan.” (muka surat 195)
No comments:
Post a Comment