Rapuh 33/2020: Terbiasa selesa di belakang (10)
Ketika di sekolah menengah awal 1960-an dahulu pembacaan, termasuk majalah-majalah agama milik Ayah, telah mendedahkanku dengan istilah ‘Moor’ secara relatifnya lebih awal berbanding istilah ‘Moro’.
Pengetahuan tentang istilah Moor diketahui kerana pembacaan awal tentang sejarah Arab/Islam terutama melibatkan Afrika Utara dan perkembangan Islam di Sepanyol. Penentangan orang-orang Sepanyol terhadap penguasaan orang Moor di Andalusia itu menjadikan terbiasalah istilah Moor itu di minda. Kita sedia maklum, khalifah Islam di Sepanyol itu berakhir dengan kemenangan pihak Kristian.
Orang-orang Sepanyol tidak melupakan pengalaman berperang dengan orang-orang Moor di negara mereka. Moor dalam sebutan orang-orang Sepanyol menjadi Moro yang bererti orang Islam. Ia perkataan asal Latin iaitu “Maurus” dimaksudkan oleh orang-orang Sepanyol sebagai orang Islam di Afrika dan Sepanyol. (p. 474)
Sampai di dunia sebelah Timur pun, istilah Moro terpakai bagi orang-orang “Filipina Islam di Mindanao, Sulu dan lain-lain pulau di Filipina Selatan.” Sebutan itu melekat hingga kini dan nampaknya diakui oleh orang-orang Melayu Filipina sebagai istilah yang sebenarnya menepati untuk membangsakan mereka khususnya yang beragama Islam.
Dalam buku karya Zaide, sejarah Moro dibahaskan di dalam bab khusus, Bab XIX, “Peperangan Moro”, muka surat 473-497. Terasa sayang mengetepikan pemerian Zaide terhadap pengalaman pahit mereka mempertahankan agama, bangsa dan tanahair.
Pemakaian istilah Moro untuk orang-orang Melayu Islam Filipina mutakhir ini
mantap
. Dunia pun menerima pakainya. Dalam Indeks buku tulisan Zaide, saya mengharapkan ditemui istilah ini. Ternyata ia tidak mendapat keutamaan. Ia hanya muncul di bawah entri “Mubaligh” yang mempunyai subnya, “sebagai pejuang menentang orang Moro.” Sebutan “Moro” muncul lagi di bawah “Orang Moro” disusuli subnya, “serangan” (maksudnya “serangan Orang Moro”). Barangkali ketika buku itu ditulis, suasana politik ‘Bangsamoro’ belum sejelas sekarang. Bagaimanapun dari segi pemerian dalam teks, Zaide menulis, “Gelombang hijrah yang ketiga tiba di Filipina pada masa di antara abad ke 14 dengan abad ke 16 T.M. yang merupakan orang Melayu pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w.—iaitu nenek moyang orang Moro zaman sekarang. Sejarah kehadirannya di Filipina tidak samar-samar. Banyak daripada kisahnya diketahui oleh ahli-ahli sejarah kerana gelombang hijrah mereka ke Filipina menandakan kedatangan agama Islam ke Mindanao dan Pulau Sulu, iaitu suatu peristiwa yang dicatitkan dengan jelasnya di dalam tarsilas orang Moro. (muka surat 33)
Moor/Islam dengan Sepanyol/Kristian bermusuhan apabila bertembung. Di Filipina, peperangan pertama orang Moro dengan Sepanyol ialah pada tahun 1569 di Cebu. Peperangan Sepanyol-Moro di Filipina Selatan, iaitu di Jolo ialah pada tahun 1578. Mengikut beberapa ahli sejarah, peperangan inilah yang melanjutkan permusuhan Sepanyol dengan Islam selama 300 tahun.
Serangan balas Jihad orang Moro yang pertama ke atas orang Sepanyol dan Kristian ialah pada Julai 1599. Sepanyol menyerang Jolo sebanyak 16 kali di antara tahun 1578 hingga 1876 dan berjaya menakluknya pada tarikh terakhir itu.
Peperangan banyak pula berlaku di tempat-tempat yang lain. Di samping itu banyak juga perjanjian diikat di antara pihak Sepanyol dengan pihak Moro seperti pada tahun-tahun 1726, 1737, 1746, 1805, 1836, 1851 dan 1878. (muka surat 468).
Pengenalan kapal api oleh penjajah Sepanyol pada 1848 di perairan Filipina, menandakan permulaan kemerosotan kuasa orang-orang Islam. Perahu-perahu orang Moro tidak mampu menandingi kelebihan teknologi Barat .
Apabila Amerika mengambil alih kuasa di Filipina, peperangan dengan Moro berterusan. Ramai orang Moro yang terkorban termasuk pemimpin-pemimpin utama Islam seperti Datu Ali (1905), Jikiri (1909), Nakib Amil dan Jami (1913), Saipul, Punglu, dan Salihudin (1914).
Kecanggihan senjata Barat mengendurkan semangat penentangan orang-orang Moro.
Beberapa perjanjian di antara kedua-dua pihak diikat pada tahun 1842 dan 1899. Terakhir mereka menandatangani perjanjian mengiktiraf kuasa Amerika pada tahun 1915. Pemimpin Islam, Sultan Jamalul Kiram dari Jolo menyerah kuasa serta dibayar pencen seumur hidup di samping diiktiraf selaku ketua agama orang-orang Islam Filipina.
Amerika melantik Frank W. Carpenter, Governor Awam pertama bagi Mindanao dan Sulu pada tahun 1913. Zaide menulis, “Dengan pentadbiran yang cekap tentang hal ehwal orang Islam dan dengan sifatnya yang ramah maka dalam masa beberapa tahun sahaja Gabenor Carpenter telah mencapai apa yang tiada dapat dicapai oleh askar-askar Sepanyol dan kemudiannya askar-askar Amerika dalam peperangan yang bertahun-tahun. Kepadanyalah dan bukan kepada pedang Toledo Sepanyol ataupun mesin-gun Amerika terletaknya “kemegahan” kerana telah menubuhkan asas keamanan dan ketenteraman di negeri Moro.”
Sekarang kita belum tahu pasti kedudukan dan hala tuju Bangsamoro di negaranya sendiri.
No comments:
Post a Comment