Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 34/2020: Terbiasa selesa di belakang (11)

Sungguh berperistiwa dan bergelora tak berhentian sejarah Filipina. Banyak boleh diketengahkan daripada pemerian Zaide dalam buku beliau, Sejarah Politik dan Budaya Filipina Jilid Dua, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, cetakan kedua (dengan pembetulan) [cetakan pertama 1972], xxi, 517 halaman, $17. Buku asal berjudul, “Philippine Political and Cultural History Volume II, Phillipine Education Company, 1957, (revised edition).
Beberapa fakta yang menjolok apabila mengenang sejarah kita berbanding sejarah Filipina tidak sukar diketengahkan.
Dari segi pendidikan pada awal abad ke-20 pun kita jauh dari mengenali Maktab bertaraf pengajian tinggi. Sedangkan di Filipina, telah ditubuhkan Universiti San Ignacio, pada tahun 1589 (bertaraf Kolej dan mulai 1621 bertaraf universiti tetapi ditutup pada 1768). Kemudian, Universiti Santo Tomas menyusuli pada 1611 (tetapi bertaraf universiti mulai 1645). Pada tahun 1707 Universiti San Felipe didirikan di Manila dengan bantuan kerajaan sepenuhnya (tetapi ditutup pada 1726 kerana kurang mendapat sambutan orang ramai. (muka surat 122)
Kemudahan dan taraf pendidikan sedemikian awal dalam sejarah negara itu memberi kesan tertentu. “Sekolah dan Kolej dalam masa pemerintahan Sepanyol bukan sahaja menyebarkan agama Kristian dan kebudayaan Sepanyol tetapi juga meninggikan lagi taraf intelek rakyat. //.... Sekolahnya sama seperti yang terdapat di Sepanyol dan lebih elok daripada sekolah di Latin Amerika.” (muka surat 127)
Di Filipina, percetakan diperkenalkan pada tahun 1593 dan buku pertama dicetak berjudul Doctrine Christiana, 1593 (edisi Sepanyol-Tagalog dan edisi bahasa Cina). Manakala akhbar pertama terbit pada 8 Ogos 1811 bernama Del Superior Givierno (Dari Pemerintahan Tinggi).
Tentulah membanggakan kalau pada masa yang sama terdapat alatan percetakan di negeri-negeri Melayu. Mungkin tidaklah bermasalah bahan-bahan penulisan bangsa Melayu tercetak dan terkumpul dengan baik; bukan dalam bentuk manuskrip yang terhad naskhah bahkan mudah musnah seperti dialami sejak beberapa abad.
Ingatkah kita bilakah manuskrip pertama Melayu tercetak dengan kedatangan teknologi Barat itu?
Seterusnya, untuk laman ini, saya memilih untuk menyentuh sesuatu yang telah biasa diketahui oleh kebanyakan kita di Malaysia. Tentang Rizal. Beliau menyerlah semenjak kanak-kanak lagi. Pada umur 24 tahun beliau sudah menjadi pakar perubatan bertauliah, ahli sains, ahli falsafah dan sarjana. Dia mengetahui 21 bahasa – Tagalog, Ilokano, Bisayan, Subanun, Melayu, Cina, Jepun, Sepanyol, Catalan, Itali, Portugis, Belanda, Arab, Hewbrew, Rusia, Sweden, Yunna, Latin, Perancis, Jerman dan bahasa Inggeris.
Sebagai penulis beliau tergolong pengarang novel terawal. Novel Noli Me Tangere (Social Cancer) terbit di Berlin pada 1887 dan sambungannya El Filibustrismo (The Reign of Greed) diterbitkan di Ghent pada 1891. (muka surat 184). Kedua-dua karya kreatif ini menyumbang kepada meletusnya revolusi Filipina.
Dalam satu surat “dialamatkan kepada orang negerinya” yang ditulisnya di Hong Kong sebaik akan pulang ke Filipina, dan diserah kepada seorang sahabat dengan pesanan supaya dibaca setelah saya mati”, Rizal menyatakan, “Saya hendak menunjukkan kepada pihak yang menafikan cinta kita kepada tanahair bahawa kita tahu bagaimana hendak berkorban nyawa demi kewajipan kita dan kerana memperjuangkan prinsip. Mengapa takut mati, sekiranya seseorang itu mati kerana cintakan sesuatu demi kepentingan negeri dan rakyat yang dikasihi?” (Zaide memetik bahan daripada tulisan Austin Craig tentang Rizal, muka surat 194-195).
Rizal ditangkap dan dibuang ke Dapitan, Mindanao pada 7 Julai 1892. Liga Filipina yang ditubuhkannya sebagai saluran meneruskan perjuangan di negaranya terbubar.
Apabila pecah revolusi yang dilancarkan pertubuhan Katipunan, Rizal telah ditangkap kerana disyaki terlibat. Beliau dibicarakan pada 6 Disember 1896 dan dijatuhkan hukuman mati. Begitu pun, beliau berkahwin dengan Josephine Bracken, kekasih Irishnya di gereja Kota Santiago tempat beliau ditahan pada 30 Disember 1896. Beberapa jam selepas itu, dia menjalani hukuman di hadapan pasukan penembak. Ketika itu usianya 35 tahun.
Zaide memetik sebahagian sajak Ultimo Adios karya Rizal yang masyhur itu sebagai menggandingnya dengan suasana dan keadaan Rizal ketika dibunuh.
Fajar menyinsing nyawaku hilang
Lenyaplah malam terbitnya siang
Kalau cahaya pagi bertambah terang
Ambillah darahku semoga warnanya yang perang
Nampak seimbas cahaya yang cemerlang.
Saya pun memiliki sebuah buku travelog tulisan Muhammad Yusof Mustafa yang melawat Filipina pada tahun 1963, Sampaguita Dari Filipina, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1972. Banyak juga cerita Rizal ditulis beliau di dalam buku ini. Sebahagian sajak “Mi Ultimo Adios” yang dimuatkan dalam buku tersebut tidak mengandungi untaian sajak yang dipetik di atas.
Tokoh seunggul Rizal seharusnya dikagumi. Dalam bersastera dia tidak mensesiakan tema atau mesej dalam karya-karya. Novel-novelnya mengilham dan membakar semangat rakyat ke arah perjuangan kemerdekaan.
Sajaknya menjadi karya klasik dalam kesehajaan kalimat-kalimat yang mencengkam perasaan di samping digemblengi sejarah peribadi bersiratan unsur kebangsaan bangsa yang tidak tunduk kepada penakluk bahkan tetap gigih mendukung maruah.
Kalaulah kita juga boleh mencipta sebuah sajak yang bakal setaraf demikian hayatnya, dan menggempa impaknya kepada khalayak jelata, saya kira kita sudah boleh berasa lega. Biarlah satu pun. Itu sudah mencukupi. Kerana, sebuah atau beberapa kumpulan puisi peribadi yang terbit lantas tidak diketahui kehadirannya oleh sesiapa, seerti tiada bermakna apa pun.
Image may contain: text
M Jusoff Taib, Rismayanti Idris and 9 others
3 comments
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment