Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 35/2020: Terbiasa selesa di belakang (15)

Buku hari ini, Cesar Adib Majul, Islam di Filipina, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, xviii, 560, $30. Buku asal ialah Muslim in the Philippines, Saint Mary’s Publishing , edisi ketiga, 1978 [1973]. Saya kira suatu karya istimewa. Ia sebuah buku yang sangat berharga. Dari segi fakta-fakta dan juga pendekatan analisis.
Buku ini dilancarkan pada 25 Mei 1973 oleh Alejandro Melchor, Setiausaha Eksekutif Kabinet Marcos. Ucapan beliau dimuat sekali gus menjadi semacam pengantar kepada buku ini [yang judul asalnya dalam ucapan ini disebut Kesultanan Islam di Filipina]. Ucapan ini sangat bermakna kerana ia seakan mengulas kritis kandungan bahkan sekali gus realiti penulisan pensejarahan kebangsaan Filipina sehingga itu.
Pada intinya, saya menyimpulkan Melchor mengakui kandungan buku sejajar dengan hasrat mengamalkan pendekatan negara menggemblengkan unsur-unsur kepelbagaian rakyat dengan mengutamakan hala tuju kebangsaan. Bahawa dianggapnya, buku ini bergagasan. “Kepentingan sebuah buku itu terletak kepada gagasannya, atau kumpulan gagasan yang dicetuskan olehnya.”
Pada fahamannya “Karya ini adalah di antara yang terawal, kalaupun ia bukan merupakan yang pertama, yang dikemukakan untuk membetulkan perspektif, ...” sekian lama wujud yang timbul kerana pendekatan penulisan sejarah yang tidak menepati atau dipermudah terhadap sejarah Filipina pra-Eropah.
Dalam “Prakata”, pengarangnya sendiri pula menulis, “Sejarah orang Islam di Kepulauan Filipina mengisahkan tentang kedatangan orang Sepanyol ke kawasan ini dan tentang bagaimana kuasa-kuasa Eropah yang lain di kawasan-kawasan yang berhampiran itu telah menyisihkan mereka daripada orang-orang Islam lain sehingga mereka itu terpaksa mengembleng sepenuhnya dan bergantung lebih banyak kepada punca-punca keluaran mereka untuk mengekalkan cara hidup mereka. Dalam konteks inilah Perang Moro itu seharusnya ditinjau.” (muka surat xv)
Kata Majul, “Orang-orang Sepanyol datang ke Filipina bukan sahaja dengan tujuan untuk memperluaskan kekuasaan empayar dan untuk kepentingan ekonomi Raja mereka tetapi juga dengan tujuan untuk memperkenalkan agama Kristian Katolik. Yang demikian fahamlah kita mengapa mereka memilih orang Islam Filipina dan orang Borneo sebagai objek kebencian dan kutukan mereka. Kerana orang-orang inilah yang menjadi halangan utama terhadap cita-cita Sepanyol di kawasan itu. Tidaklah dapat dielakkan bahawa sebagai tindak balas Islam akan menjadi suatu tenaga yang memberikan orang-orang Islam kekuatan dan perpaduan yang mereka perlukan sebagai suatu kumpulan untuk menentang kemaraan Sepanyol itu.”(muka surat 118)
Setelah ratusan halaman membentangkan fakta-fakta dan huraian rantaian peristiwa peperangan berentetan ratusan tahun di antara Sepanyol dan Moro, Majul merumuskan, sebahagiannya, “Pada dasarnya, penentangan orang-orang Islam menentang Sepanyol di Filipina bukanlah merupakan fenomena yang terpencil atau tidak bererti tetapi merupakan suatu bahagian yang sangat penting dalam penentangan umum seluruh rakyat Islam di Alam Melayu menentang Impereialisme, Kolonialisme dan Kristian Barat. Dalam suatu pengertian yang penting, kesultanan-kesultanan itu merupakan pengucapan suatu entiti sosial yang lebih luas, iaitu masyarakat Islam di Alam Melayu. Dalam konteks ini seharusnya sejarah Perang Moro dilihat supaya ia dapat difahami dan dinilai dengan lebih baik lagi.” (muka surat 506)
Majul malah berharap pengabaian sejarah menilai dengan tepatnya perjuangan orang Moro oleh majoriti bangsa Filipina sendiri seharusnya berubah. “Buku-buku sejarah di Filipina lebih cenderung menonjolkan peristiwa-peristiwa di pulau-pulau lain dan membanggakan wira-wira kebangsaan dari wira pulau itu, seolah-olah sejarah Filipina hanya terdiri daripada orang-orang yang ditakluki sedangkan sejarah mereka yang tidak pernah ditakluki tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam lembaran sejarah Filipina.” (Ibid.)
Mengambil kira masa kini, sudah 47 tahun pandangan Majul terungkap. Walaupun pandangan dalam buku ini mungkin tidak memberi kesan langsung kepada pihak-pihak terbabit, tetapi langkah-langkah damai di antara pelbagai pihak sedang berjalan. Proses permartabatan Bangsamoro belum lagi muktamad. Ia tetap merentas ranjau beraneka rupa darjah komplikasinya.
Kita berharap dan berdoa hasrat majoriti Bangsamoro tercapai jua akhirnya. Mereka telah terlalu lama terpinggir daripada meraih faedah berkongsi menikmati habuan terbuka sebuah dunia merdeka.
Image may contain: 3 people, text that says "Islam di Filipina CESAR ADIB MAJUL Terjemahan Shamsuddin Jaapar"
Zulkifli Salleh, Ahmad David Kholilurrahman and 8 others
1 comment
2 shares
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment