Sunday, 27 December 2020

Rapuh 36/2020: Waktu mengulang sudah tiba
Seharusnya dipetik sebahagian kata pengantar Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka mengalu-alukan buku, Dr. Subhi Salleh, 1979, cetakan kedua [cetakan pertama 1977]. Kajian Al-Quran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, xix, 447 halaman, $10. Buku ini tersenarai sebagai Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 90.
Kata Ketua Pengarah, bahawa dengan penerbitannya, Dewan memasuki peringkat yang maju lagi dengan dalam bidang penterjemahan “buku-buku agama daripada bahasa Arab ke bahasa Malaysia untuk bacaan umum dan rujukan peringkat persekolahan tinggi.” ... Buku-buku demikian “sangat kurang”. Sungguhpun dicabar agar cerdik pandai tempatan Islam tampil menulis, “tetapi sangat kekurangan sekali mereka yang menyahut cabaran itu.”
Saya percaya, Kajian Al-Quran ini tentulah termasuk di antara buku-buku ilmiah terjemahan yang terawal muncul untuk tatapan pembaca yang mencari-cari bahan bacaan yang bernilai dalam bahasa ibunda.
Sedikit malang, buku asal yang menjadi sumber terjemahan tidak pula dinyatakan. Jadi, saya kutip sedikit maklumat seperti ditulis pengarangnya sendiri dalam “Sepatah Kata dari Pengarang Bagi Edisi Baru (1385H=1965M).” Ini bermakna edisi bahasa Melayu ini terbit selepas 12 tahun edisi bahasa Arab.
Dr. Subhi menyatakan edisi awal buku beliau itu terbit pada tahun 1958. Asalnya adalah bahan-bahan kuliah beliau yang disampaikan di Universiti Damsyik, Syria selama dua tahun. Tetapi edisi baru (edisi keempat) ini, “Kalaupun tidak pada tambahan-tambahan yang dilakukan terhadapnya, sekurang-kurangnya pada bentuk ayat yang digubah secara baru, lebih indah dan berseri. ... Ianya meliputi segenap aspek kajian Al-Quran yang tidak sepatutnya dianggap mudah oleh setiap orang Arab dan Islam.” (muka surat x).
Dalam “Pendahuluan” pula, Dr. Subhi memberi pengiktirafan kepada para ulama dahulu, “bahawa mereka adalah ahli kaji yang paling berjaya membuat sesuatu hukuman berdasarkan faktor-faktor sejarah yang sah.” Bagaimanapun, kata Dr. Subhi seterusnya, “Apabila mereka menggunakan sejarah sebagai asas kajian, maka tidak banyak peluang yang dapat mereka gunakan dalam kajian itu dari aspek sastera. Pada hal aspek sastera juga tidak kurang pentingnya dalam kajian Al-Quran.” (muka surat xvii)
Namun, saya ingat benar membaca buku ini dengan teliti. Dan begitu kagum serta asyik terhadap isi kandungannya. Oleh sebab telah agak lama pembacaan pertama itu maka tidak pula saya boleh merincikan pengetahuan tambahan atau kepuasan khusus yang diperolehi daripadanya.
Ini adalah suatu pengakuan jelas bahawa tiba masanya buku ini diulang baca semula. Ya, setelah puluhan tahun selesai membaca kali pertama dahulu. Barangkali pada peringkat bacaan ulangan sekarang akan lebih bererti lagi.
Pun, untuk maksud laman ini saya membelek pantas demi memetik sedikit lagi mutiaranya. Agar tidaklah tersesia kita oleh faedah nyata terserlah di dalamnya.
Kata Dr. Subhi, “Doa merupakan sejenis nasyid yang didendangkan untuk memohon restu kepada Allah. Ianya tidak menawan jiwa orang yang mendendangkannya melainkan jika sekiranya lafaz-lafaz yang digunakan di dalamnya adalah lafaz-lafaz yang terpilih. Jadi tidak hairanlah kalau kita dapati Nabi Muhammad sendiri di kala berdoa sering menggunakan lafaz-lafaz yang berirama, seperti sajak yang lembut, susunan kata yang indah dan dengungan yang jelas. Juga tidak kurang indahnya ketika menuturkan sebarang doa melalui lisan para Nabi, orang saleh, menggubahnya dalam bentuk alunan irama yang paling merdu dan bayan yang paling menakjubkan. Apabila kita terkenang kembali kepada berbagai doa yang didendangkan oleh manusia saleh yang banyak terdapat dalam Al-Quran, sama ada dalam bentuk memohon atau kecemasan, ingin mendapat atau melindungkan dari sesuatu, meminta dicepatkan sesuatu kebajikan atau menolak kejahatan. Apabila dikenangkan kepada doa-doa ini fahamlah kita rahsia mengapa terdapat unsur-unsur muzik dalam setiap ayat dalam Al-Quran.” (muka surat 436-437)
Image may contain: text that says "ka kajian ji ALQURAN Dr. SUBHI SALLEH"
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 12 others
3 comments
2 shares
Like
Comment
Share

Comments

 

No comments:

Post a Comment