Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 37/2020: The Spirit of Islam, Api Islam dan SEdKI

H.B. Jassin sudahpun pergi. Namun, tinggalannya semerbak sampai kini. Selain penulis buku-buku sendiri beliau juga terkenal kerana menterjemah beberapa buku yang sangat utama dalam bidang-bidang tertentu. Dalam paparan-paparan yang sudah agak lama dulu, saya telah pernah menyentuh tentang hasil-hasil terjemahan beliau; Al-Quranul Karim Bacaan Mulia (1978, 1991) dan juga Multatuli yang penuh teka-teki (1988).
Tetapi sebenarnya, sebelum itupun, Jassin menterjemah sebuah lagi buku ke dalam bahasa Indonesia berjudul [Api Islam: Sejarah Evolusi dan Cita-cita Islam dengan Riwayat Hidup Nabi Muhammad SAW., Jakarta: Penerbit Bulan Bintang, 1956].
Buku ketiga yang disebut di atas asalnya, Syed Ameer Ali, The Spirit of Islam, Christophers, [London, 1923]. Ia sebuah buku yang sebenarnya pertama kali terbit pada tahun 1891. Tentulah istimewa kandungannya sehingga H.B. Jassin memberi perhatian dan menterjemahkan ke bahasa Indonesia seawal itu.
Edisi ketiga bahasa Indonesia diterbitkan oleh Pustaka Jaya pada tahun 1978 dan inilah edisi yang telah “disemak dan diuabhsuai ke dalam bahasa Malaysia oleh Mohamad Saleeh Rahamad” lalu muncul sebagai Sejarah Evolusi dan Keunggulan Islam, 1992, cetakan pertama, xii, 633 halaman, $25.
Kalau diperhatikan, Api Islam muncul di Indonesia selepas 65 tahun edisi asalnya. Selepas 101 tahun edisi asal, dan selepas 35 tahun lahir edisi Indonesia baharulah kita dapat menjamah edisi Malaysia, berupa ubahsuaian edisi Indonesia.
Saya kurang dapat merincikan unsur-unsur semakan dan ubahsuai ini, tetapi kalau judulnya diperhatikan memanglah ia berlainan. Dalam hal ini, tidak timbul persoalan judul asal The Spirit Islam bertukar menjadi edisi Indonesia Api Islam Ia hampir-hampir bersamaan.
Namun pada judul edisi Malaysia unsur “Spirit” atau “Api” itu hilang. Yang tertonjol ialah suatu judul panjang yang ternyata melewahi kulit depan.
Saya melayari internet. Tentunya idea menjudulkan demikian terbit daripada kedua-dua edisi terdahulu itu: “The Spirit of Islam: A History of the Evolution and Ideals of Islam: With a Life of the Prophet.” atau “Api Islam: Sejarah Evolusi dan Cita-cita Islam dengan Riwayat Hidup Nabi Muhammad SAW.”
Buku asal itu (yang saya fahami cetakan 1891) mengikut Syed Ameer dalam “Pengantar” (tanpa tarikh) ditambah dua bab baru iaitu tentang Imamah (Penggantian Rasulullah), dan “Semangat Idealisme dan Mistik Islam”. Di samping itu bahan-bahan baru dimasukkan juga dalam Pengantar dan Bab 10, Bahagian II (berjudul “Semangat Rasionalis dan Falsafah Islam”).
Pengarang juga merakamkan terima kasih kepada “Muhammad Iqbal, Sarjana Penyelidik Kerajaan India di Cambridge, atas pembaikan yang teliti pada cetakan percubaan dan penyusunan indeks”.
Tiada keterangan pengiklanan khusus mengenai buku ini untuk ‘mempromosikannya’ kecuali pada kulit belakangnya – sekadar dalam tiga kalimat; “Merupakan karya klasik yang telah dapat mengangkat syiar dan citra Islam sebagai “agama alam ini” di tempat yang tinggi di mata dunia bukan Islam. Penulis telah memaparkan kenyataan-kenyataan secara kritis dan bebas tentang kebudayaan, tamadun, ilmu, seni dan sastera pada zaman Nabi dan selepasnya dengan membandingkan dengan keadaan dunia pada zaman itu. Dipaparkan juga segala rempah-ratus yang menjadi ramuan kepada kemajuan umat Islam pada zaman keagungannya.”
Saya kurang pasti sejauh mana “bau-bauan” bahasa Indonesia masih menyerbak dalam edisi bahasa Melayu ini. Sukar hendak dikatakan secara pasti kerana saya tidak memiliki Api Islam dalam koleksi peribadi. Namun, sebelum mengenal edisi ini saya telah biasa mendengar Api Islam itu dipercakapkan di kalangan tertentu.
Barangkali berdasarkan petikan-petikan berikut seseorang boleh menerka perbezaan atau persamaan edisi-edisi bahasa Indonesia dan bahasa Melayu itu.
Tiada sebab khas memilih petikan ini: “Dalam penyelidikan sejarah, orang Islam tidak kalah dengan bangsa lain mana-mana pun juga, baik dari dunia kuno mahupun moden. Mula-mula perhatian terutama ditujukan kepada sejarah Rasulullah S.A.W., tetapi fikiran primitif meluas jadi konsep yang besar. Ilmu purbakala, geografi dan ilmu bangsa-bangsa digabungkan dalam sejarah dan orang-orang yang paling terpelajar mengabdikan diri kepada pekerjaan cabang ilmu pengetahuan yang menarik ini. Antara karya sederhana Ibnu Ishak dan sejarah semesta Ibnu Khaldun ada perbezaan yang besar, tetapi waktu di antara kedua-dua orang itu diisi oleh sejumlah besar penulis yang hasil pekerjaannya, sedikit sebanyak membuktikan kegiatan intelektual umat Islam di bawah inspirasi Islam.” (muka surat 484)
Saya diharui sendiri menyalin lagi, “Pilihan kata-kata dalam Al-Quran, yang sederhana tetapi agung, keanggunan gayanya yang suci, keragaman permisalannya, peralihan-peralihan yang cepat laksana halilintar, memperlihatkan moralis sedang mengajar, ahli falsafah sedang berfalsafah, patriot yang tersinggung sedang mengutuk dengan kata-kata yang keras ketiadaan moral dan keburukan rakyatnya, dan di samping itu Tuhan yang memanggil kembali dengan perantaraan hamba-Nya, umat-Nya, yang sesat - semua itu menandai sifatnya yang istimewa di antara dokumen-dokumen agama. Dengan kagum dan hormat penyair-penyair besar pada zaman itu mendengarkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya dan hal itu membuktikan betapa dalam ia telah menggugah keharuan orang. ...” (muka surat 489)
Saya minta maaf kerana panjang memetik, dan terpaksa menahan diri daripada meneruskan. Kalaulah dengan menyalin begini, ia baharu sehalaman atau lebih sedikit, bayangkankanlah masih 632 halaman lagi yang perlu dibaca. Demi benar-benar mewajarkan nilai sebenar hasil fikir pengarangnya.
Teramat sayanglah karya ini jika tidak ditelaah – tak kiralah sajiannya sealiran dengan kita atau sebaliknya. Membaca “bahasa”nya – sama ada Indonesia atau Melayu – sudah menghiburkan. Bercampur lagi kandungannya, buku ini, seabad lebih kemudian masih tetap perlu dibaca.
Pada Bibliografi saya perhatikan rujukan pengarang meliputi buku-buku dalam bahasa Arab, Inggeris, dan Perancis.
Saya melayari Wikipedia. Syed Ameer dilahirkan pada 1849 dan memperoleh ijazah pertama pada tahun 1867 daripada Universiti Culcutta, Sarjana pada tahun 1868 dan Sarjanamuda Undang-undang pada 1869. Banyak pencapaiannya oleh kecemerlangan intelek yang terserlah dalam beberapa lapangan. Beliau mencapai kegemilangan selepas itu.
Membaca pemerian ringkas riwayat hidupnya, tentulah beliau seorang yang disanjung oleh sebahagian dan pada masa yang sama ditentang oleh sebahagian lain – di kalangan orang-orang Islam pun.
Syed Ameer Ali meninggal dunia pada tahun 1928.
Image may contain: text that says "Sejarah Evolusi dan Keunggulan ISLAM SYED AMEER ALI"
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 9 others
5 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Saya mempunyai edisi Indonesia, terbitan Bulan Bintang, Jakarta, 1980.
    Image may contain: text that says "SYED AMEER ALI API ISLAM SEJARAH EVOLUSI DAN CITA- CITA ISLAM DENGAN RIWAYAT HIDUP NABI MUHAMMAD S.A.W. Alih bahasa H. JASSIN PENERBIT PENERBIT .BatoaBintaag ataag JAKARTA Kramat Kwitang 1/8 Telp. 342883 346247 1980 HUAWEI nova 3i DUAL CAMERA"
    1
    • Like
    • Reply
    • 28 w
  • Saya percaya permukasuratan diantara edisi Indonesia dan Malaysia berbeza. Pun kalau dapat dibandingkan petikan-petikan yang saya nyatakan itu, kita dapat menyelak sedikit sebanyak kedudukan atau kelainannya.
    1
    • Like
    • Reply
    • 28 w
  • Ya, seperti biasa, amat berbaloi membaca setiap posting penyelidikan Dato' Ahmad Said di FB ini .. terima kasih Dato'
    1
    • Like
    • Reply
    • 28 w
  • Saya hari ini membelek juga, W.C. Smith, Islam dalam Sejarah Moden, Bhratara, 1962, Djakarta, dan melintasi Catatan Bab II, muka surat 115, no. 41, yang menyatakan tentang The Spirit of Islam: “Salinan yang pertama telah diterbitkan dalam 1873 sebagai: Syed Ameer Ali, A Critical Examination of the Life and Teachings of Mohammad, London and Edinburgh (Williams & Norgate). Dalam 1891 W.H. Allen di London menerbitkan “The Life and Teachings of Mohammed, or the Spirit of Islam. Penerbitan ketiga keluar dalam tahun 1899. Penerbitan “yang diperluas dan diperbaiki” diselenggarakan oleh Christophers, London, 1922 dan oleh Doran, New York 1923: Syed Ameer Ali, The Spirit of Islam: a history of the evolution and ideals of Islam, with a life of the Prophet. Buku tersebut dicetak kembali di London 1923 dan dalam suatu penerbitan lanjut yang diperbaiki, setelah pengarangnya wafat dalam tahun 1935; ulangan-cetak buku ini telah keluar dalam tahun 1946, 1949, 1952 dan 1953. Terjemahan ringkasan dalam bahasa Turki telah diselenggarakan oleh Umer Riza, Ruh-u Islam, Istanbul, 1341 (1922-23?). Penulis ini diberitahu, akan tetapi belum melihat sendiri, bagian-bagiannya yang telah diterjemahkan dalam bahasa Arab dan disiarkan dalam al-Bayan, Kairo.” Maklumat yang sama dalam bahasa Inggeris boleh dilihat, W. C. Smith, Islam in Modern History, A Mentor Book, September 1959, p.68-69, footnote 41.
    2
    • Like
    • Reply
    • 28 w

No comments:

Post a Comment