Sunday, 27 December 2020

Rapuh 39/2020: Piawai bahari (1)
Daripada sebuah naskhah dalam koleksi saya petik,
“IV Maka segala perkara yang menghasilkan ilmu bagi makhluqat itu tiga perkara: Suatu pancaindera yang lima kedua khabar sadiq (yakni berita yang benar); ketiga ‘aqal. Maka pancaindera yang lima itu suatu penengar, kedua penglihat, ketiga pencium, keempat perasa lidah, kelima perasa tubuh.” (p. 53).
(Lihat, Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Oldest Known Malay Manuscript: a 16th Century Malay Translation of the ‘Aqa’id of Al-Nasafi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1988).
Syed Naguib juga menyatakan, “What is remarkable about the Malay translation accomplished 400 years ago is its compact, easy flowing, good style characterized by a distinctive clarity of expression. The translator has clearly succeeded in reflecting the character and content of the Arabic original, and demonstrated thereby his masterly scholarship and linguistic command.” (p. 47)
Hakikatnya, hanya pada tahun 1988 baharu kita tahu bahawa buku terjemahan pertama dalam bahasa Melayu ialah ‘Aqa’id Al-Nasafi, yang dikatakan lahir pada 1590. Pengarang asalnya ialah Abu Hafs Umar Najm al-Din al-Nasafi. Kita tidak mengetahui penterjemahnya. Pun, besar tanggapannya manuskrip itu ditulis di Aceh.
Kemudian baharulah buku-buku lain, kebanyakan dalam bidang agama, menyusuli, seperti .....
Berabad-abad kemudian, ketika orang-orang Melayu lemah terjajah, segelintir sahaja mereka yang boleh membaca. Diakui bestari. Bahan-bahan bacaan adalah persuratan Melayu dalam bentuk manuskrip. Yang lain, bertuahlah kalau beroleh pengetahuan, dengan cara mendengar pengajaran atau tazkirah tok-tok guru di surau-surau atau masjid-masjid.
Segelintir yang berpeluang bersekolah pada dekad-dekad akhir abad kesembilan belas tidak pun membaca banyak buku. Sebabnya, tiada buku diterbitkan. Untuk sekolah-sekolah Melayu kita diberitahu murid-murid membaca atau diajar menggunakan buku-buku asasi yang diterbitkan atas inisiatif tokoh-tokoh seperti Syed Abdul Kadir, Munsyi Muhammad Ibrahim, Munsyi Sulaiman, R.J. Wilkinson, dan R.O. Winstedt.
Itu semua baru lebih kurang seabad berlalu. Ketika itu, orang Melayu, seperti kata Senex, sedang “layu”.
Pengenalan sekolah-sekolah Melayu secara terarah adalah peristiwa baharu. Barangkali senarai rujukan paling mudah untuk mengetahui tahap pembacaan dan pendidikan orang-orang Melayu ialah dengan merujuk kepada sejarah SITC.
Melalui Pejabat Karang Mengarang di kolej itu, kita mengenali dua senarai: The Malay School Series dan The Malay Home Library Series.
Dalam The Malay School Series terdapat 85 judul (sehingga 1941). Dan dalam senarai The Malay Home Library Series terdapat 64 judul (sehingga 1957). (Lihat, Abdullah Sanusi bin Ahmad, Peranan Pejabat Karang Mengarang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966).
Barangkali tidak sangat kita perlu menilai mutu bahan-bahan berkenaan. Dengan menyedari tujuan pendidikan Melayu sebelum Merdeka itu hanyalah menjadikan murid-murid itu nelayan dan petani yang lebih baik daripada generasi ibu bapa mereka sudah memadai untuk merumuskan tahap pencapaian dan kebestarian lulusan sekolah-sekolah berkenaan.
Saya sendiri menyimpan buku-buku warisan sekolah-sekolah Melayu itu seperti:
1. Canai Bacaan, bacaan sekolah darjah IV. (Jawi), (The Malay School Series No. 1) . Terpungut daripada beberapa hikayat Melayu oleh Pejabat Karang Mengarang.
2. Pelbagai Cetera Melayu, bacaan sekolah darjah IV & V. (The Malay School Series No. 15). (Darjah V, peringkat tertinggi di sekolah Melayu ketika itu). Nampaknya ada I dan II walaupun siri bilangan 15.
3. Pelita Bahasa Melayu Penggal I (permulaan Nahu Melayu), 1958 tersenarai sebagai “Buku-buku Sekolah Umum Bil. 30”; Pelita Bahasa Melayu Penggal II, (Bagi Melatih Murid-murid Mengarang Melayu Dalam Darjah II, III dan IV di Sekolah-sekolah Melayu), Macmillan and Co., Ltd., London, 1953, cetakan pertama menggunakan “The Malay School Series No. 30”. Saya juga memiliki naskhah Penggal II, cetakan tahun 1957; Pelita Bahasa Melayu Penggal III (Bagi Melatih Murid-murid Mengarang Dalam Darjah-darjah Tinggi di sekolah-sekolah Melayu dan Tahun I di Kolej Guru-guru), Macmillan and Co., Ltd., London, 1953. Pendahuluan Za'ba untuk cetakan ini bertarikh 19 April 1947. Buku ini pun tersenarai sebagai “The Malay School Series No. 30”, yang bermakna kesemua penggal menggunakan satu bilangan siri yang sama.
4. O.T. Dussek, Hujungan Kitab Hisab II (The Malay School Series No. 41), [1934 (2x), 1936, 1956], Pejabat Karang Mengarang, Jabatan Pelajaran, Persekutuan Tanah Melayu, Kuala Lumpur.
5. W.S. Morgan, Kesah Tanah Melayu, (The Malay School Series No. 49), diterjemahkan oleh Pejabat Karang Mengarang, Malaya Publishing House, Singapura, 1947.
6. B.L. Milne dan H.R. Cheeseman (penyunting), Cerita Lakunan II, (The Malay School Series No. 64), Dimelayukan oleh Pejabat Karang Mengarang, Malaya Publishing House, Ltd., 1957 (reprinted).
7. Stamp dan Lewis, Ilmu Alam Darjah Tinggi II, (The Malay School Series No. 67), dimelayukan oleh Pejabat Karang Mengarang, Longmans, Green and Co., London, [1950, 1956].
Saya mengakhiri hantaran ini dengan menyalin sedikit kata-kata “Pengenalan” Za'ba bertarikh 1 Jun 1924, dalam buku Canai Bacaan,
“Maka Encik-encik Guru hendaklah ingat apabila mengajar membaca kitab ini kepada murid-muridnya bahawa dibaca dengan gaya yang betul bunyi suara dan tempat-tempat berhentinya, dan diterangkan di mana-mana perkataan yang musykil serta janganlah lupa mengatakan kepada mereka itu bahawa cerita-cerita ini hanya cerita-cerita menyedapkan telinga sahaja bukan sebenarnya, supaya tiada lekat pada fikiran mereka itu sangka-sangka dan kepercayaan yang biasa di antara kebanyakan orang kita Melayu mengatakan semua cerita itu betul telah berlaku pada zaman dahulu kala!” (muka surat iv-v)
No photo description available.
Zulkifli Salleh, Ahmad David Kholilurrahman and 13 others
1 comment
2 shares
Like
Comment
Share

 

No comments:

Post a Comment