Rapuh 4/2020: Beta, Winstedt.
Saya pernah memetik kandungan surat R.O. Winstedt tentang Za'ba pada suatu ketika di laman ini. Dalam surat itu beliau menggunakan perkataan atau ganti nama ‘beta’ membahasakan dirinya. (Lihat laman fb saya bertarikh 4 Februari 2013 dan hantaran-hantaran yang menyusulinya)
Sekarang, apabila saya membaca buku Mohd. Zamberi Abdul Malek, Sir Richard Olaf Winstedt Orientalis atau Sarjana, Tanjung Malim: Penerbit Universiti Perguruan Sultan Idris, didapati petikan surat yang dimaksudkan itu termuat sama. (muka surat 203). Di samping itu, salinan surat Winstedt berkenaan dalam tulisan tangan beliau pun dimuatkan di muka surat 205. Mohd. Zamberi selanjutnya menulis bahawa penggunaan “beta” oleh Winstedt itu “tanda keangkuhan seorang Victorian England”.
Saya tidak pasti tahap ketepatan penilaian Zamberi itu. Pun, saya sendiri gamam mengenai penggunaan ganti nama itu, kerana selama ini menganggapnya terhak kepada Raja sahaja. Bagaimanapun, selepas selesai membaca buku Zamberi, terfikir pula untuk meninjau perkara ini lebih lanjut. Kebetulan, sumber-sumber rujukan ada dalam koleksi peribadi dan dikira memadai untuk tinjauan awal.
Dalam R.J. Wilkinson, An Abridged Malay-English Dictionary (Romanised), 1961 (eight edition, revised, enlarged and reset) muka surat 31, tercatat, “béta, Skr. slave, your servant, I (in correspondence).”
Sehubungan ini juga saya menyemak R.J. Wilkinson, “Notes on Malay Letter-Writing”, Appendix kepada Malay Grammar (1914) karangan R.O. Winstedt, muka surat 183-205. Beliau (Wilkinson) menulis, “2. FROM ME. –The writer of the letter should describe himself very shortly. If he emphasizes his title in any way it is an assertion of superiority over the person addressed. If he depreciates himself by adding some such expression as yang hina it is an admission of extreme inferiority. The use of kita (we) for beta (I) is a strong assertion of superiority except in the East Coast States where beta is not used.”
Di tempat lain, muka surat 190-191, “6. YOU -- …” ada penjelasan Wilkinson, “… On the East Coast kita is used in place of beta; on the West Coast kita is used to inferiors only. …” Banyak contoh-contoh lain yang diberikan oleh Wilkinson yang menunjukkan penggunaan beta sebagai wajar dalam menulis surat dengan atau kepada orang Melayu.
Winstedt, dalam buku Malay Grammar yang terbit pertama kali pada tahun 1914 (naskhah terbitan 1952), ketika menerangkan “Pronouns” menyatakan dalam kesusasteraan, ganti nama I, we menggunakan ‘beta’. Beliau menjelaskan, “beta (Hind. brother) I or we; used by rajas and gentry addressing equals or condescendingly to inferiors; but chiefly as the usual term for the first person in letters, and corresponding to sahabat beta you my friend. (Clifford says, that on the East coast it is rude except for the raja writing to his chiefs, and that in Pahang it was formerly an expression forbidden except for the ruler.)” (muka surat 109).
Pandangan yang serupa juga ternyata dalam buku beliau Simple Malay Grammar For the Use of Schools, 1949, (second edition).
Dalam Kamus Bahasa Mĕlayu susunan Winstedt, Singapore & Kuala Lumpur: Marican & Sons, 1960 (chetakan Yang Pĕrtama), tercatat, “beta H., saya, kita; s. sĕmua kita sĕmua; sahabat b, kamu, tuan (dalam surat). (Nota: Huruf ‘H’ itu bermaksud Hindustani).
Saya petik satu sumber lagi, M.B. Lewis, Teach Yourself Malay. London: The English Universities Press Ltd, 1965 (first printed 1947) ketika menyentuh “Personal Pronouns”, muka surat 119-120, 325, menyatakan selain daripada I, me memasukkan juga “beta” yang digunakan “in letters”. Begitu juga dengan “sahabat beta” yang bermakna “lit. “friend of me”.
Dalam W.J.S. Poerwadarminta, Kamus Umum Bahasa Indonesia, Tjetakan ke-Tiga, 1961, (tjetakan I, 1953) muka surat 131, “beta (béta): 1 kl. hamba; abdi; 2 a) kl. saja (dipakai oleh orang2 berpangkat dl surat menjurat dsb); b) kes. aku; saudara --, saudara hamba (atau tuan hamba);” (NOTA: ‘Kl.’ bermaksud ‘kesusasteraan lama’; ‘kes’ bermaksud ‘kesusasteraan’). (Nota: Sengaja dikekalkan ejaan asal).
Dalam buku Bahasa Ber’adat oleh Sa’ad Shukry, terbitan Federal Publications Ltd. 1960, muka surat 19, perkataan “BETA” dijelaskan, “1. Bahasa dalam; digunakan oleh raja pemerintah iaitu ganti nama diri; misal – beta dengan sukacita menerima ucapan tahniah; kalimah ini teradat dipakai di antara orang besar-besar yang sama sepangkat jika dalam surat-surat sahaja; misal – sahabat beta; paduka sahabat beta; seri paduka sahabat beta; 2. termasuk dalam kalimah-kalimah “maksud surat” dalam surat beradat; misal – adalah beta maklumkan kepada sahabat beta.”
Sementara itu, “beta” dalam Kamus Dewan, cetakan pertama 1970, muka surat 113, diberi huraian “saya (dipakai oleh raja2 atau orang2 berpangkat), kita ; sahabat -- sahabat hamba, tuan hamba.” Saya juga menyemak Kamus Dewan, cetakan ketiga 1986 dan maknanya masih tidak berubah kecuali ejaannya mengikut sistem ejaan baharu.
Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, susunan Haji Zainal Abidin Safarwan, 2002, muka surat 225 menyatakan: “beta saya, aku, patik (dipakai sewaktu bercakap kepada raja-raja), hamba, kami, kita;”. Begitu sahaja.
Maka, bolehlah saya katakan, bahawa R.O. Winstedt memahami bahkan menguasai kaedah persuratan Melayu dan mengguna pakai sewajarnya.

No comments:
Post a Comment